Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Kuala Lumpur: Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) semalam melancarkan program World Space Week 2014 (WSW 2014) peringkat kebangsaan dengan tema ‘Space Guiding Your Way’.

Tahun ini ANGKASA mengambil inisiatif bekerjasama dengan pihak Touch ‘n Go bagi menghasilkan kad eksklusif bertema angkasa dengan cetakan imej bulan, suar matahari dan galaksi ‘whirpool’ (lubuk pusar) yang dirakam di Observatori, Langkawi yang juga salah sebuah kampus di bawah ANGKASA.

Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Dr Zulkifli Mohamed Hashim berkata, penganjuran WSW 2014 adalah usaha MOSTI membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) dengan sedikit nilai tambah melalui penggabungan elemen pembelajaran sepanjang hayat dalam program berkenaan.

Katanya, ia sebagai usaha membentuk nilai dan masyarakat yang mengiktiraf STI dalam kehidupan seharian seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara akan datang.

“Lazimnya WSW disambut setiap 4 hingga 10 Oktober, namun memandangkan bulan lalu adalah musim haji, kita telah sepakat untuk menganjurkannya pada bulan ini (November).

“WSW ialah program pendidikan yang dilaksanakan bagi menggalakkan golongan muda meminati bidang sains angkasa. Selain itu, ia juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat di seluruh dunia mengenai manfaat yang diterima daripada teknologi satelit khususnya teknologi angkasa lepas,” katanya selepas merasmikan program itu di Planetarium Negara, di sini, semalam.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan sambutan WSW bermula tahun 1999. Tarikh 4 Oktober dipilih sebagai permulaan selaras tarikh kejayaan pelancaran kapal Sputnik 1 manakala tarikh 10 Oktober pula adalah bersamaan dengan tarikh tandatangan triti angkasa lepas.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah ANGKASA Dr Noordin Ahmad berkata, WSW yang berlangsung dari 8 hingga 14 November itu turut membabitkan pelbagai aktiviti menarik.

“Antara aktiviti yang disediakan untuk pengunjung termasuk pencerapan matahari, pencerapan langit malam, mencari harta karun, mewarna, perkongsian idea dan pengalaman astronomi, forum sains angkasa serta perkongsian pengalaman dan cerita bersama Datuk Dr Mazlan Othman.

“Pada masa sama, ANGKASA turut menambah baik penghasilan alat bantu mengajar bertulisan Braille untuk diserahkan kepada sekolah terpilih di seluruh negara. Melalui program berkenaan, ANGKASA bekerjasama dengan Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan (KPM) dan Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Cheras,” katanya.

Orang ramai yang mahu mendapatkan kad Touch ‘n Go edisi terhad itu boleh mendapatkannya di Stesen Sentral Kuala Lumpur dan Bangsar South dengan harga RM50 setiap set.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:07 AM