Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Kuala Lumpur: Seramai 173,985 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang culas dan gagal membuat bayaran balik pinjaman pendidikan mereka akan disenaraikan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mulai 1 Januari ini.

Peminjam berkenaan tidak pernah membuat sebarang bayaran melebihi tiga tahun dari tarikh mereka sepatutnya membuat bayaran membabitkan tunggakan bayaran balik pembiayaan berjumlah RM1.23 bilion.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, penyenaraian peminjam PTPTN dalam CCRIS bertujuan mendisiplinkan peminjam serta mewujudkan sikap bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman.

Menurutnya, peminjam yang masih belum membuat bayaran balik disaran hadir berunding dengan PTPTN termasuk di 25 cawangan seluruh negara selewat-lewatnya 31 Disember ini untuk tempoh penyusunan semula sebelum pelaksanaan CCRIS.

Beliau berkata, akibat daripada bayaran balik yang masih rendah itu, PTPTN bakal berdepan dengan masalah kekurangan dana untuk tujuan pinjaman serta bayaran balik pinjaman kepada institusi kewangan dan ia boleh menyebabkan jumlah bilangan pelajar yang akan mendapat manfaat pinjaman daripada PTPTN semakin berkurangan.

“Pada tahun ini sehingga 30 September lalu, kutipan bayaran balik peminjam berjumlah RM447.01 juta berbanding sasaran RM850 juta manakala jumlah keseluruhan bayaran balik pinjaman pendidikan yang diterima sehingga 30 September lalu sebanyak RM5.41 bilion membabitkan 996,610 peminjam.

“Sehingga 30 September lalu, 558,475 peminjam tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman membabitkan RM4.3 bilion dan daripada jumlah itu, 173,985 peminjam tidak pernah membuat sebarang bayaran melebihi tiga tahun dari tarikh mereka patut membuat bayaran yang mana peminjam sepatutnya mula membayar balik mulai 2010 dan sebelumnya,” katanya pada sidang media di pejabat PTPTN di sini, semalam.

Shamsul Anuar berkata, PTPTN sudah mengambil pelbagai langkah proaktif untuk meningkatkan jumlah kutipan bayaran balik daripada peminjam namun ia masih tidak berkesan.

“Setiap tahun, kita memerlukan lebih RM5 bilion iaitu RM3.8 bilion untuk pembiayaan 400,000 pelajar sedia ada manakala RM1.6 bilion untuk pelajar baru membabitkan 200,000 orang dan jika jumlah kutipan bayaran balik daripada peminjam rendah sukar untuk kita membiayai pelajar lain,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, mulai 1 November lalu PTPTN memutuskan pembiayaan baru pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk politeknik dikurangkan sebanyak lima peratus manakala 15 peratus ke atas pembiayaan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Katanya, dengan kekurangan dana PTPTN perlu mengambil langkah penjimatan itu bagi memastikan manfaat pembiayaan dapat diberikan kepada semua pelajar yang memerlukan kemudahan pembiayaan.

Menurutnya, PTPTN juga menggunakan data Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai salah satu kaedah tapisan bagi menentukan kelayakan jumlah pembiayaan kepada peminjam baru.

“Bagi jumlah pembiayaan baru, tiga peringkat pembiayaan dikekalkan dengan pindaan kepada asas penentuan kelayakan iaitu bagi pelajar yang ibu bapa disenaraikan sebagai penerima BR1M mereka layak mendapat pembiayaan maksimum.

“Bagi pendapatan bulanan keluarga pelajar tidak melebihi RM8,000 pembiayaan yang akan diberikan sebanyak 75 peratus manakala keluarga pelajar yang berpendapatan lebih RM8,000, mendapat pembiayaan 50 peratus daripada pembiayaan maksimum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:12 AM