SULTAN Hassanal Bolkiah bersama Najib menyaksikan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (dua dari kanan) dan Pengerusi PetroleumBRUNEI Pehin Datuk Seri Setia Lim Jock Seng bertukar dokumen perjanjian, semalam.
SULTAN Hassanal Bolkiah bersama Najib menyaksikan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (dua dari kanan) dan Pengerusi PetroleumBRUNEI Pehin Datuk Seri Setia Lim Jock Seng bertukar dokumen perjanjian, semalam.

Putrajaya: Kesepakatan menyegerakan proses kajian dan persempadanan darat antara Malaysia dan Brunei adalah antara perkara yang dibincangkan pada Rundingan Tahunan Malaysia - Brunei ke-14, di sini, semalam.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan sejurus rundingan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah turut mengalu-alukan penggunaan prosedur operasi standard (SOP) untuk ukur hidrografi bagi menentukan sempadan terutama dari Sungai Pandaruan dan Sungai Menunggol ke Sarawak.

“Kedua-dua pemimpin memuji hasil kerja jawatankuasa bersama bagi penentuan sempadan darat itu selain mahu kerja penentuan sempadan itu dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua negara juga berpuas hati dengan kemajuan dalam pelaksanaan Pertukaran Surat yang ditandatangani pada 2009 termasuk membabitkan akses maritim.

Malah, pemimpin kedua-dua negara mahu pegawai di negara masing-masing memuktamadkan perbincangan bagi membolehkan Pertukaran Surat mengenai akses maritim dilaksanakan.

“Kedua-dua pemimpin terus mengulangi komitmen mereka terhadap kerjasama maritim dan menggesa pegawai di negara masing-masing menyegerakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama maritim,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin juga dimaklumkan kerjasama di antara PETRONAS dan PetroleumBRUNEI juga sudah menjangkau Comercial Arrangement Area (CAA) meliputi perkembangan aktiviti kerjasama penerokaan di bawah Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) untuk Blok N dan Q termasuk di negara ketiga seperti Kanada.

“Kedua-dua pemimpin juga menyambut baik pemeteraian pengumuman bersama PetroleumBRUNEI dan PETRONAS meneruskan kerjasama di Myanmar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib menghargai komitmen baginda kerana terus menyokong Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dan Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) selain meminta baginda terus menyertai LIMA 2015 dan DSA 2016.

Selain itu, Najib turut mengucapkan tahniah kepada baginda di atas penganugerahan Doktor Kehormat Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada esok berikutan sumbangan besar baginda dalam bidang undang-undang dan pendidikan.

Dalam pada itu, baginda turut mengucapkan tahniah kepada Najib di atas pemilihan Malaysia sebagai anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Rundingan tahunan kedua-dua pemimpin berkenaan diakhiri dengan majlis jamuan makan tengah hari yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:12 AM