Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengutip lebih RM1 juta setiap hari apabila lebih ramai peminjam tampil membuat pembayaran balik pinjaman masing-masing.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, peningkatan bilangan peminjam yang membuat pembayaran disebabkan pelaksanaan hukuman yang bakal dikenakan terhadap peminjam tegar iaitu disenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) yang dilaporkan secara meluas di media baru-baru ini.

“Kini hanya terdapat 175,000 peminjam yang masih berdegil dan enggan membayar balik pinjaman pelajaran mereka. Mereka tidak pernah tampil untuk berunding dengan PTPTN sedangkan kita sentiasa mempertimbangkan masalah mereka untuk buat bayaran.

“Masalahnya, mereka sudah tiga tahun tidak membayar pinjaman walau satu sen pun. Mereka mengelak dan lari walaupun ada antaranya bekerja dengan gaji lumayan, malah ada yang berkereta besar.

“Takkanlah bayaran RM100 sebulan tidak mampu. Sikap ini perlu diubah bagi membantu bakal peminjam lain yang ingin melanjutkan pelajaran,” katanya selepas melancarkan Inovasi e-Pembelajaran Open Universiti Malaysia (OUM) di sini, semalam.

Bulan lalu, PTPTN dilaporkan memberi tiga bulan kepada lebih 170,000 peminjam tegar PTPTN untuk membayar balik tunggakan pinjaman jika tidak mahu disenarai dalam CCRIS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:07 AM