Alor Setar: “Tiba-tiba pusaran angin itu datang dari arah bumbung rumah jiran di depan sebelum bergerak ke bumbung rumah saya membuatkan saya teringat pesanan orang-orang tua lalu melaungkan azan sekuat hati,” kata Adam Abdullah, 30, antara penduduk Taman Wira, dekat sini, yang rumah mereka rosak bumbung dibadai puting beliung berskala kecil, semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 petang semalam, kira-kira 13 rumah di taman itu rosak bumbung.

Difahamkan, kejadian berlaku sejurus selepas azan Zuhur manakala kebanyakan penghuni rumah keluar bekerja.

Adam berkata, ketika kejadian dia berada di garaj menjemur pakaian apabila terdengar bunyi kuat seperti kipas helikopter terbang rendah.

Menurutnya, dia melihat pusaran angin menuju rumahnya dengan ekornya mencecah bumbung rumah penduduk lain menyebabkan dia lari lintang-pukang masuk ke dalam rumah sambil menyuruh isteri membawa anak perempuan berusia setahun menyorok di bawah meja.

“Kejadian cemas itu berlaku selama kira-kira 10 minit menyebabkan bumbung bilik air rumah tercabut, manakala bumbung di bahagia garaj mengalami kerosakan kecil.

“Sehingga kini saya masih terkejut kerana kejadian itu kerana pertama kali berlaku di kawasan perumahan ini sejak hampir 10 tahun menetap di sini. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tiada penduduk cedera, ” katanya.

Penduduk lain, Rashid Kassim, 60, berkata ketika kejadian dia berada di dapur sedang menyediakan makanan tengah hari apabila terdengar bunyi kuat di atas bumbung rumah.

“Saya sangka musang berlari di atas bumbung, namun lama kelamaan bunyi itu semakin kuat dan bumbung rumah tiba-tiba berlubang.

“Bimbang kejadian buruk, saya mematikan api dapur dan mengarahkan anak lelaki yang sedang tidur di biliknya keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Md Noor Chik ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan beberapa pegawai agensi berkenaan sudah dihantar bagi menjalankan siasatan.

“Buat masa sekarang, kita menerima laporan kira-kira 13 rumah mengalami kerosakan kecil pada bumbung .

“Pegawai yang memeriksa akan menghantar laporan untuk ditentukan jenis bantuan kepada mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 8:14 AM