AHMAD Phesal (kiri) menyiram pokok manggis selepas merasmikan program penajaan pokok, semalam.
AHMAD Phesal (kiri) menyiram pokok manggis selepas merasmikan program penajaan pokok, semalam.
Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Siapa sangka di sebalik kepesatan ibu negara, warga kota kini mempunyai alternatif meredakan tekanan kerja dengan memetik hasil buah-buahan di Kolam Takungan Banjir Batu, Kepong, di sini, lima tahun lagi.

Menggunakan konsep ‘dusun dalam bandar’, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama 25 penaja daripada syarikat swasta, korporat dan pemaju, semalam menanam 3,500 pokok merangkumi 11 spesies buah-buahan.

Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, Taman Dusun Bandar yang kedua itu seluas 29 hektar berkonsepkan taman awam yang ditanam pokok buah-buahan dan turut dilengkapi kemudahan rekreasi.

“Taman ini dibina sebagai lokasi pelancongan baru berkonsepkan dusun buah-buahan di tengah bandar, sekali gus menampilkan kelainan berbanding taman rekreasi di sekitar ibu negara.

“Selain menyediakan taman awam dan kawasan hijau, kita mengambil inisiatif mewujudkan taman berkonsepkan dusun bagi memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung,” katanya ketika merasmikan Program Penajaan dan Penanaman Pokok Buah-Buahan oleh Syarikat Swasta, Korporat dan Pemaju di Taman Metropolitan Batu, di sini, semalam.

Ahmad Phesal berkata, bagi mencapai matlamat Program Penghijauan Kuala Lumpur dan Lembah Klang, DBKL berusaha mendapatkan sokongan swasta untuk merealisasikan beberapa inisiatif utama di bawah program itu dengan menjemput beberapa syarikat menjadi rakan kongsi DBKL menerusi Program Penajaan Pokok.

“Kita berjaya mencapai bilangan kumulatif pokok tajaan 32,235 batang di Wilayah Persekutuan dan hari ini (semalam) DBKL menerima 3,500 pokok lagi melebihi jumlah sasaran ditetapkan.

“DBKL menjangkakan dusun ini mengambil masa lima tahun untuk ‘dituai’ dan dibuka kepada awam kerana kita mahu memberi jaminan pokok di situ membesar dengan sempurna tanpa gangguan,” katanya.

Menurutnya, pada peringkat awal, pokok buah-buahan ditanam kontraktor seperti yang terkandung dalam kontrak pembangunan tetapi DBKL turut mengambil inisiatif menambah dan menanam sendiri koleksi tambahan pokok buah-buahan.

“Antaranya durian, rambutan, duku, langsat, manggis, nangka dan kelapa.

“Kawasan ini tapak bekas lombong bijih timah bersebelahan Taman Metropolitan Batu seluas 220 ekar (88 hektar),” katanya.

Ahmad Phesal berkata, taman dusun buah yang kedua selepas Jalan Bellamy, dekat sini dibangunkan di kawasan bandar itu mempunyai tarikan tersendiri untuk orang ramai beriadah di samping mengenali tanaman buah-buahan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:09 AM