JAKIM mengesahkan produk Cadbury di Malaysia menepati garis panduan halal. FOTO Khairull Azry Bidin
JAKIM mengesahkan produk Cadbury di Malaysia menepati garis panduan halal. FOTO Khairull Azry Bidin

Kuala Lumpur: Cadbury Malaysia menyambut baik pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke atas produk coklat Cadbury yang dibuat dan dijual di Malaysia.

Ketua Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan syarikat itu, Raja Zalina Raja Safran berkata, syarikat itu gembira atas pengesahan JAKIM produk Cadbury di Malaysia menepati garis panduan halal.

“Selepas spekulasi berbulan-bulan, kami harap pengesahan ini melenyapkan kekeliruan terhadap status halal produk Cadbury di Malaysia, seterusnya membolehkan pengguna menikmati semula hidangan lazat kami,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut Raja Zalina, JAKIM sudah menguji produk coklat dan proses pembuatannya serta mendapati ia mengikut garis panduan halal dan piawaian kebersihan, kualiti serta keselamatan yang ketat.

“Kami mematuhi garis panduan halal JAKIM sepenuhnya,” tambahnya.

Katanya, syarikat bertindak tegas terhadap mana-mana individu atau organisasi yang terus menyebarkan maklumat palsu produk Cadbury.

“Kami faham kepentingan dan sensitiviti agama serta budaya rakyat di negara ini,” katanya.

Pada Mei lalu, dua jenis coklat Cadbury menjadi viral di laman sosial apabila pengguna menyebarkan laporan ujian Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyatakan coklat itu mengandungi kesan kandungan DNA Porcine.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:14 AM