Kuala Lumpur: Seramai 19,056 warga asing ditahan kerana terbabit dalam 147,062 kes jenayah indeks yang dilaporkan di seluruh negara pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain terbabit jenayah indeks, kebanjiran rakyat asing juga turut menyumbangkan kepada kadar jenayah komersial.

Katanya, jenayah yang dilakukan mereka secara bersiri dan bersindiket dengan menjadikan rakyat di negara ini serta luar negara sebagai mangsa.

“Mereka mewujudkan rangkaian sindiket penipuan menggunakan komputer dan Internet sebagai alat utama penipuan.

“Mereka juga menjadikan wanita tempatan sebagai rakan sejenayah serta membawa keluar hasil penipuan ke negara asal melalui kemudahan sistem perbankan elektronik di negara ini.

“Statistik tangkapan yang terbabit dalam jenayah komersil pada tahun ini sehingga Oktober seramai 925 orang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang mahu dinyatakan jumlah terkini penjenayah negara asing ditahan di negara ini.

Wan Junaidi berkata, kehadiran warga asing juga turut dikesan terbabit dengan kegiatan mengedar dan penyalahgunaan dadah.

“Statistik pembabitan warga asing dalam aktiviti pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah tahun ini sehingga Oktober ialah 4,930 orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:19 AM