Kuala Lumpur: “Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa bersiap siaga bagi membantu pasukan penyelamat setiap kali bencana berlaku di mana saja sama ada dalam atau luar negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, bantuan semasa operasi mengurus dan membawa pulang jenazah mangsa Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, baru-baru ini.

Katanya, petugas jabatan itu sudah biasa dengan pengurusan jenazah di hospital seluruh negara dan mereka kumpulan terlatih.

“Saya tidak bimbang sekiranya, petugas JAKIM dibabitkan dengan operasi seperti itu, kita tidak perlukan unit khas setakat ini, tetapi kekuatan yang ada sudah memadai untuk turun padang sekiranya diarahkan,” katanya kepada media selepas Majlis Penghargaan Petugas Pengurusan Jenazah MH17 kepada 13 petugas JAKIM di Parlimen, semalam.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya Mohd Abdul Manaf Mat mengetuai senarai penerima.

Pasukan dari JAKIM itu adalah yang pertama dibabitkan dengan operasi bencana bagi membawa pulang jenazah mangsa MH17.

Sementara itu Abdul Manaf berkata, tugas yang dilaksanakan pasukan itu dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa.

Beliau berkata, cabaran paling getir ialah ketika mahu menyampaikan berita sedih kepada waris mangsa yang terkorban.

“Namun kita yakinkan mereka perpisahan itu bukan kekal ia sementara dan mereka akan bertemu satu hari nanti,” katanya.

Seorang lagi petugas dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abdidin, Raihana Mokhtar menganggap mereka melaksanakan tugas istimewa kerana mangsa meninggal dunia pada Ramadan yang mulia.

“Roh mereka juga didoakan oleh seluruh manusia di dunia ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:14 AM