Kuala Lumpur: Mengadu tidak mempunyai wang untuk membeli susu bayi sebaliknya menyebabkan seorang wanita dibelasah bekas suaminya di kediaman mangsa di Taman Midah, Cheras, di sini.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, mangsa berusia 34 tahun dihubungi bekas suaminya yang mahu melawat anak kecil mereka.

Sumber polis berkata, mangsa bagaimanapun mengadu kepada suspek bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membeli susu anak mereka.

Menurutnya, suspek kemudian segera pergi ke rumah mangsa sebelum berlaku pertengkaran berkaitan isu itu.

“Suspek yang berang bertindak menghamburkan kata-kata kesat kepada wanita malang itu.

“Bagaimanapun keadaan menjadi ‘panas’ apabila mangsa bertindak melawan bekas suaminya berusia 36 tahun sebelum suspek menampar muka mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek turut melepaskan beberapa tumbukan ke arah muka bekas isterinya sebelum melarikan diri.

Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Cheras di sini, sejurus kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:26 AM