Oleh Fazilawati Qistina Rukmanuddin

Kajang: Keadaan tebing jalan yang runtuh hingga menyebabkan lubang besar tepi longkang di kawasan Taman Cheras Awana, di sini meresahkan penduduk taman itu, terutama penunggang motosikal.

Ini berikutan keadaan jalan yang gelap pada waktu malam.

Ahli Majlis Kajang Chan Su Sann berkata, kerosakan longkang berkenaan menjadi lebih serius apabila hujan kerana air yang mengalir laju menghakis tanah di tebing jalan itu dan menjadikan lubang bertambah besar.

“Saya sudah meninjau kawasan itu dan ia sangat bahaya kerana longkang berkenaan di kawasan selekoh jalan dan sudah berkeadaan demikian sejak lebih dari tiga bulan.

“Bagi penduduk sekitar sudah sedia maklum lubang itu tidak menjadi masalah, tetapi jika orang luar yang lalu di sana untuk mendaki bukit, memang bahaya” katanya yang ditemui selepas mesyuarat pemantauan aduan ahli majlis Majlis Perbandaran Kajang yang dipengerusikan Yang Dipertua Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman, di sini, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan kes ini tidak dapat dilakukan buat masa sekarang kerana harus menunggu peruntukkan bajet tahun depan namun dia sudah ketengahkan isu berkenaan ke dalam mesyuarat aduan majlis sebelum itu.

“Saya sudah mendesak Yang Dipertua MPKj panjangkan kes ini kepada MB atau Exco Selangor dan sudah mendapat persetujuan daripadanya,” katanya.

Sementara itu isu permohonan untuk membuat bonggol di beberapa kawasan Kajang turut diketengahkan dalam mesyuarat aduan ahli majlis dan MPKJ bakal menetapkan syarat kepada pemaju untuk membina bonggol di jalan raya bagi kawasan bangunan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:07 AM