Petaling Jaya: Walaupun sudah 14 tahun berlalu, kami sentiasa menjalankan tanggungjawab sosial bagi memastikan Orang Asli Temuan kekal mendiami rumah sendiri di banglo Desa Temuan, tetapi usaha itu juga ada hadnya.”

Demikian reaksi Timbalan Ketua Pegawai Operasi MK Land Holdings Bhd Dr Zulkifli Mohd Isa sambil menyifatkan suku Temuan adalah antara Orang Asli paling bertuah di negara ini kerana dapat tinggal di sebuah banglo yang terletak di tengah-tengah kawasan pembangunan mewah Damansara Perdana.

Namun, katanya, di sebalik kebanggaan itu, pihaknya turut kecewa apabila kejayaan membina 147 unit banglo di kawasan seluas 60.7 hektar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan tidak dapat dimanfaatkan semua 147 keluarga Orang Asli Temuan yang sepatutnya mendiami kawasan itu.

“Memang mereka diberikan hak milik ke atas tanah dan rumah banglo berkenaan termasuk menyewakannya kepada orang luar, tetapi tidak boleh menjualnya malah sampai bila-bila pun ia hanya boleh dimiliki Orang Asli Temuan.

“Tetapi lebih daripada itu, sebenarnya kami mahu melihat mereka terus tinggal di situ tanpa menyewakannya sebab itulah sebelum berpindah ke situ, syarikat sudah menganjurkan pelbagai kursus untuk mendidik mereka tentang cara menjalani kehidupan rumah di bandar.

“Malah, kami turut mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan dengan beberapa pihak termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Amanah Raya Berhad (AMB) bagi memberi panduan pembayaran cukai tanah serta pengurusan kewangan secara berhemah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, semua keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan masyarakat Temuan pada masa hadapan supaya mereka tidak terperangkap dalam kemajuan dan mengamalkan gaya hidup lama iaitu bertani di hutan sebagai mata pencarian.

Beliau berkata, walaupun peranan pemaju hanya terhad kepada melaksanakan visi kerajaan untuk pembangunan semula penempatan Orang Asli Temuan, ia tidak menghalang MK Land untuk terus menjaga kebajikan mereka.

“Sebab itu, sebelum ini MK Land turut menyediakan latihan kepada masyarakat Temuan yang berminat untuk meningkatkan kemahiran diri khusus dalam kerja pembinaan dan selepas memiliki kemahiran mereka boleh mencari kerja bersesuaian untuk menjana pendapatan bulanan sendiri.

Menyingkap kembali pembinaan penempatan Orang Asli Temuan di Desa Temuan, projek itu bermula pada 1990-an apabila pembangunan pesat kawasan sekitar seperti Sungai Buloh, Bandar Utama dan Taman Tun Dr Ismail menyebabkan kerajaan terpaksa memikirkan satu mekanisme bagi memastikan masyarakat Orang Asli Bukit Lanjan tidak terperangkap dengan arus pembangunan.

Ketika itu, cara paling sesuai ialah menggunakan kaedah penswastaan dan pada Mac 1995, Saujana Triangle Sdn Bhd iaitu anak syarikat Kumpulan MK Land dilantik dilantik untuk membangunkan kawasan seluas 320 hektar yang ketika itu diwartakan sebagai Rizab Orang Asli Bukit Lanjan.

Hasilnya, satu situasi menang-menang telah dipersetujui termasuk Orang Asli mula mendapat habuan masing-masing berikutan mereka juga terpalit dengan arus pembangunan pesat di situ sehingga mendapat gelaran Orang Kaya Baru (OKB).

Ia ekoran masing-masing 147 keluarga menerima habuan berupa sebuah banglo dengan surat hak milik dan keluasan sehingga 10,000 kaki persegi, pelaburan Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM45,000 dan sebuah rumah pangsa kos sederhana bagi setiap anak bujang berumur 16 tahun ke atas (130 unit).

Habuan lain termasuk pampasan pokok dan usaha, elaun sara hidup bulanan RM500 bagi ketua isi rumah yang tinggal di rumah penempatan sementara dan elaun perpindahan RM300.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:06 AM