PEMANDANGAN dari jeti  sebahagian projek mengatasi hakisan pantai.
PEMANDANGAN dari jeti sebahagian projek mengatasi hakisan pantai.

Kuala Lumpur: Berikutan kebimbangan mengenai masalah hakisan pantai di Kampung Tok Jembal, Terengganu, kerajaan memperuntukkan RM70.5 juta bagi projek pengurusan pantai di kawasan itu untuk mengatasi masalah berkenaan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, C Poobalan berkata, projek yang diberikan tahun ini adalah projek dua tahun dan dijangka selesai pada 2016.

“Kami juga mendapati hakisan pantai Tok Jembal dalam keadaan kritikal dan langkah pencegahan sedang dijalankan,” katanya.

Semalam, media melaporkan, kajian simulasi kelautan empat tahun lalu oleh penyelidik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati 42.6 meter kawasan darat itu terhakis.

Kawasan yang teruk terjejas adalah sepanjang 3.4 kilometer yang bermula dari utara Lapangan Terbang Sultan Mahmud sehingga ke UMT dan turut membabitkan Kampung Tok Jembal.

Poobalan berkata, rancangan mereka untuk mengatasi masalah hakisan itu ialah dengan membina empat pemecah ombak luar pesisir, benteng hakisan terminal dan rawatan penyuburan pantai.

Beliau berkata, benteng pemecah ombak adalah sebahagian daripada sistem pertahanan pantai bagi mengurangkan intensiti tindakan ombak di kawasan pantai dan dengan itu mengurangkan hakisan pantai atau menyediakan tempat perlindungan yang selamat.

“Bagi benteng hakisan pula, ia adalah struktur kejuruteraan pantai bagi membentuk satu tebing yang dapat menghalang aliran air dan mengehadkan pergerakan mendapan.

“Rawatan pantai pula digunakan dengan menambah pasir atau mendapan dalam jumlah yang banyak untuk menangani hakisan dan melebarkan pantai.

“Pada masa ini perkembangan projek pengurusan pantai sudah mencapai 15 peratus dan berikutan musim monsun bulan ini, pembinaan benteng pemecah ombak ditunda berikutan ombak besar,” katanya.

Beliau berkata, selain Tok Jembal, beberapa kawasan lain di Terengganu juga menghadapi masalah hakisan tetapi tidak seteruk di kampung itu pada masa ini.-BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:06 AM