Rahim (tiga  dari kanan) bersama  Razali   membuat pemantauan Skim Kawalan Harga sempena Perayaan Deepavali di Pasar Awam Sentul, semalam.
Rahim (tiga dari kanan) bersama Razali membuat pemantauan Skim Kawalan Harga sempena Perayaan Deepavali di Pasar Awam Sentul, semalam.
Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengkompaun 485 peniaga degil sejak Januari lalu atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM4.1 juta.

Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Rahim Baba berkata, kes itu membabitkan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu 185 peniaga tidak memaparkan tanda harga berwarna merah jambu manakala 141 peniaga dikompaun mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Keseluruhan kompaun bagi lapan kes itu RM4.1 juta termasuk enam kesalahan lain iaitu 25 peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, 60 peniaga (Akta Timbang Sukat 1972); 16 peniaga (Akta Hak Cipta 1987); 55 peniaga (Akta Perlindungan Pengguna 1999); dua peniaga mengikut Akta Sewa Beli 1967 dan seorang peniaga dikompaun membabitkan kesalahan Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti Piramid 1993.

“Statistik terkini sehingga semalam (kelmarin) itu menunjukkan KPDNKK negeri ini serius melakukan penguatkuasaan undang-undang terhadap peniaga yang tidak mematuhi arahan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas melakukan Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali di 176 gerai di Pasar Awam Sentul di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Razali Iberhim dan timbalan pengarahnya Rosli Ahmad.

Sementara itu, Razali berkata, KPDNKK menentukan harga maksimum bagi 14 jenis barangan harga kawalan untuk dikuatkuasakan mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali yang disambut Rabu ini.

“Skim ini dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selama 10 hari bermula dari 18 hingga 27 Oktober 2014.

“Pelaksanaan skim dimulakan lebih awal sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan ketika perayaan Deepavali,” katanya.

Razali mengingatkan peniaga diwajibkan menjual barangan harga kawalan tidak melebihi harga maksimum ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

“Peniaga digalakkan menjual barangan lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh lebih rendah.

“Peniaga diingatkan tindakan tegas diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Jelasnya, individu yang melakukan kesalahan boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan boleh dikompaun RM50,000 manakala bagi syarikat pula boleh didenda hingga RM500,000 atau kompaun RM250,000.

“Jika pengguna mendapati peniaga tidak mematuhi undang-undang, mereka boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui [email protected] atau hubungi talian 03-80008000/1-800-866-800 dan SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:07 AM