MUHAMAD Qayyim menjawab soalan ketika menduduki PT3, semalam.
MUHAMAD Qayyim menjawab soalan ketika menduduki PT3, semalam.
Oleh Norizuan Shamsuddin

Kota Bharu

"Saya ingin memperoleh keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) ini bagi mencapai cita-cita sebagai guru bahasa Arab," kata Muhamad Qayyim Nizar Sarimi, 15, pelajar orang kelainan upaya (OKU) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, di sini, semalam.

Muhamad Qayyim satu-satunya pelajar istimewa cacat penglihatan yang belajar di sekolah aliran agama dan menduduki PT3 menggunakan bantuan peralatan Braille di negeri Kelantan bagi tahun ini.

Muhamad Qayyim berkata, dia sudah membuat persiapan rapi bagi menduduki peperiksaan itu dengan membuat ulang kaji bersama rakan di asrama sekolah.

"Bantuan peralatan seperti Braille, kalkulator dilengkapi sistem bunyi dan alat pendengaran disediakan pihak sekolah memberi kemudahan untuk menduduki peperiksaan terbabit.

"Selain itu, tumpuan khas yang diberikan oleh guru dalam memastikan saya dapat belajar dengan sempurna dan dapat memahami setiap subjek diajar.

Menurutnya, untuk lebih memahami, dia dan rakan sering membuat ulang kaji secara berkumpulan.

"Apabila tidak memahami sesuatu perkara lebih mudah untuk kami berbincang untuk mencari jalan penyelesaian perkara itu.

"Apapun saya harap dapat memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini dan berhasrat untuk menyambung pelajaran ke Darul Quran, Selangor bagi mendalami lagi ilmu agama," katanya.

Sementara itu, pengetua sekolah terbabit, Siti Khadijah Abdullah, 56, turut mengakui Muhamad Qayyim pelajar yang rajin berusaha dan selalu memperoleh keputusan cemerlang.

Katanya, bantuan peralatan dan guru khas disediakan bagi membantu Muhamad Qayyim memahami setiap subjek yang diambilnya.

"Muhamad Qayyim bukan saja rajin dalam bidang akademik, malah turut aktif dalam bidang kurikulum dan pernah menjuarai Tilawah Quran bagi sekolah menengah di peringkat kebangsaan tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:15 AM