DINA (duduk kiri) memberi susu Dutch Lady kepada penghuni Rumah Kanak-kanak Shelter 1, semalam.
DINA (duduk kiri) memberi susu Dutch Lady kepada penghuni Rumah Kanak-kanak Shelter 1, semalam.

Petaling Jaya: "Sebelum ini, kami keluarkan duit sendiri untuk menambah perbelanjaan susu atau milo yang disumbangkan orang lain bagi memastikan kanak-kanak ini mendapat nutrisi diperlukan badan mereka," kata Pengurus Rumah Kanak-kanak Shelter 1, GP Joseph di sini, semalam.

Menurut Joseph, pihaknya bertuah kerana syarikat Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady) sudi memilih mereka dalam program membekalkan susu selama setahun kepada kanak-kanak di rumah berkenaan sejak pertengahan awal tahun ini.

"Setiap hari, kanak-kanak ini dibekalkan dengan sekotak susu sebelum mereka ke sekolah. Inilah rutin bagi memastikan mereka mendapat nutrisi sihat untuk memulakan hari.

"Terima kasih kepada Dutch Lady kerana meringankan beban kami dalam menyediakan nutrisi untuk kanak-kanak di sini," katanya selepas menerima kunjungan syarikat berkenaan di sini, semalam.

Pada kunjungan berkenaan, 12 kakitangan Dutch Lady menyediakan pelbagai aktiviti berfaedah seperti persembahan badut, kuiz serta pendedahan berkaitan susu Dutch Lady.

Ketua Komunikasi dan Tanggungjawab Korporat Dutch Lady Dina Mohd Nor berkata, program setengah hari bertujuan menceriakan kanak-kanak selain memberikan kesedaran kepada kebaikan meminum susu.

"Sebagai syarikat pengeluar susu, kami merasakan adalah menjadi tanggungjawab kami memberi kefahaman kepada kanak-kanak ini mengenai kebaikan susu dan pentingnya pengambilan susu dalam kehidupan seharian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:23 AM