Tuan Asri Tuan Hussein

Jumlah berita mengenai serbuan polis ke pusat judi tidak berlesen yang dibaca editor meja jenayah Harian Metro dalam mesyuarat harian kami meningkat mendadak kebelakangan ini.

Kata editor kami itu, ia berikutan arahan serta-merta dikeluarkan Bukit Aman pada Rabu lalu supaya semua 14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di seluruh negara mengesan, menyerbu serta menghapuskan mana-mana premis mesin perjudian tidak berlesen di negeri masing-masing.

Selain itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim juga berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan satu pasukan khas bertujuan membanteras kegiatan itu.

Menurutnya, turut diambil kira secara serius ialah isu siasatan terhadap sindiket dan premis perjudian, selain proses pendakwaan bagi memastikan pesalah dikenakan hukuman maksimum.

“Sebelum ini banyak kekangan seperti bukti pendakwaan kurang kukuh yang menyebabkan serbuan yang dilakukan sia-sia. Justeru polis akan bekerjasama dengan semua agensi pengkuatkuasaan dalam memerangi sindiket judi yang menggunakan pelbagai teknologi komunikasi canggih,” katanya.

Kenyataan tegas daripada Noor Rashid ini hadir ketika pengguna media sosial negara ini heboh memperkatakan mengenai satu klip video yang memaparkan pemimpin Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan kredibiliti polis dalam menangani isu pusat judi tak berlesen.

Dalam video yang berdurasi 4:06 saat itu, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi, mendakwa pemilik pusat perjudian di Johor mempunyai hubungan rapat dengan pegawai polis.

Beliau turut mempertikaikan ketiadaan tindakan tegas pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi kerajaan lain yang masih mengeluarkan lesen perniagaan.

Segala dakwaan Yusuf itu segera disanggah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd yang menegaskan polis Johor tidak pernah memilih bulu dan sentiasa telus dalam menjalankan siasatan.

“Saya memandang serius dakwaan itu. Saya sudah memanggil semua Ketua Polis Daerah di Johor dan kami menjalankan Ops Dadu secara berterusan sejak dua minggu lalu,” kata Mohd Khalil.

Katanya, sepanjang Januari hingga 26 September lalu, Polis Johor melakukan 761 serbuan menerusi Ops Dadu membabitkan 4,608 tangkapan, sebanyak 13,165 mesin judi dirampas dan 261 individu sudah dituduh di mahkamah.

Mengambil kira pengumuman dibuat Noor Rashid, dakwaan Yusuf dan penjelasan oleh Mohd Khalil, saya merumuskan PDRM kini bukan sekadar perlu bekerja keras untuk berperang dengan tauke judi, tapi juga untuk membuang persepsi negatif ke atas mereka.

Ini bermakna, selain perlu berperang dengan musuh di luar PDRM juga ada tugas lebih berat iaitu memerangi ‘musuh dalam selimut’ atau ‘gunting dalam lipatan’ dalam organisasi mereka.

Saya tak kata, segala dakwaan Yusuf mengenai salah laku pegawai polis di Johor itu benar tapi saya berani mengatakan persepsi kurang enak orang awam terhadap PDRM dalam isu pusat judi haram memang wujud.

Mungkin hanya segelintir atau sebilangan kecil saja anggota dan pegawai polis bersekongkol dengan tauke pusat judi, namun bak kata pepatah ‘seekor kerbau membawa lumpur, satu kandang akan terpalit.’

Justeru, PDRM menerusi pasukan khas untuk membanteras aktiviti judi tidak berlesen yang ditubuhkannya itu perlu turut mengambil kira aspek ini. Selain memburu dan menangkap dalang judi tidak berlesen, mereka juga perlu aktif mengesan sebilangan kecil pegawai polis yang tidak amanah.

Saya juga amat berharap usaha PDRM kali ini bukanlah satu tindakan bermusim atau bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’ saja.

Ini kerana, seingat saya ini bukan pertama kali arahan perang terhadap pusat judi tidak berlesen dilaungkan, namun kesungguhan hanya sementara sebelum keadaan kembali ke asal.

Hakikatnya, kita tidak perlu menjadi insan yang terlalu bijak untuk memahami cara terbaik menghapuskan pusat judi haram ialah dengan mencantas ‘akarnya.’

Maksudnya, jangan bagi lesen atau tamatkan saja operasi semua kafe siber atau pusat hiburan yang menyalah guna permit atau lesen mereka dengan menjalankan kegiatan perjudian.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dan menganggap cadangan ini terlalu drastik. Mengapa? Adakah kerana perniagaan ini penting untuk menjana ekonomi negara atau mungkin ada pihak yang akan kehilangan sumber kewangan.

Bagi saya, kemajuan dan rancangan pembangunan negara kita tidak akan terencat dengan penutupan premis perniagaan seumpama itu.

Saya juga sentiasa berpegang kepada prinsip rasional dan adil perlu menjadi tunjang dalam mengambil sesuatu tindakan. Maksudnya, antara mudarat dan manfaat, kemenangan perlu diberikan kepada manfaat.

Antara kepentingan segelintir pihak berbanding kesejahteraan kelompok majoriti pula, sudah pastilah keutamaan wajib diberikan kepada kelompok majoriti.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 5:32 AM