Muhamad Safar Ahmad

Ramadan membuka pintu rezeki kepada peniaga makanan terutama mereka yang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan.

Selain mereka yang memang profesion tetapnya adalah peniaga, muncul juga peniaga bidan terjun yang turut sama memeriahkan suasana bazar Ramadan saban tahun.

Mereka ini cuma berniaga setahun sekali iaitu sepanjang bulan puasa saja tapi bagi saya tiada salahnya jika kualiti makanan dan semua garis panduan kebersihan dan harga dipatuhi.

Cuma yang tak sedapnya apabila seorang dua peniaga buat hal, habis peniaga lain menerima tempiasnya.

Bagaimanapun, masih ramai peniaga yang memiliki rasa tanggungjawab dan beretika dalam mencari rezeki kerana semua ini adalah penentu pendapatan yang diperoleh itu benar-benar berkat.

Saya ingin berkongsi cerita tiga peniaga bazar Ramadan yang tidak kurang hangatnya selepas kisah mereka tular
di media sosial, baru-baru ini.

Kisah pertama adalah mengenai seorang peniaga martabak di Rembau, Negeri Sembilan yang tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas seorang pelanggan memuat naik dakwaan bahawa makanan yang dibelinya itu sudah basi.

Peniaga itu memberitahu dia tidak senang duduk apabila memikirkan hal berkenaan kerana bimbang sekiranya pembeli itu tidak halalkan duitnya.

Katanya, dia bimbang perkara itu menyebabkan sumber rezeki tidak berkat apatah lagi hasil perniagaan itu digunakan bagi menanggung rawatan ibunya yang sedang sakit.

Kisah kedua pula membabitkan dua saudara sepupu yang berniaga air tebu di Pontian, Johor membuat permohonan maaf kepada pelanggan menerusi media sosial selepas mendapati rasa minuman yang dijual kurang memuaskan.

Status mereka yang dimuat naik melalui Facebook juga sedia memulangkan semula wang pelanggan dengan syarat membawa botol air tebu yang dijual sebagai bukti.

Manakala kisah terakhir pula berkaitan seorang peniaga di Terengganu yang tampil memberi penjelasan selepas segelintir netizen mengecam tindakannya menjual arnab panggang tanpa memotong bahagian kepala.

Malah, selepas gambar dua arnab panggang yang tular di Facebook itu ada netizen menuduh peniaga berkenaan menjual kucing dan anjing panggang kerana bentuknya yang seakan-akan sama.

Namun selepas peniaga terbabit tampil memberi penjelasan, isu berkenaan reda malah perniagaannya bertambah laris.

Bagi saya, ketiga-tiga peniaga di atas memiliki sifat terpuji dan bersedia menceritakan kedudukan sebenar dan tidak melenting apabila ditegur.

Mereka tidak mudah melatah seperti sesetengah peniaga yang ‘menyerang’ kembali pelanggan yang memberikan komen atau mengadu tidak berpuas hati dengan perkhidmatan dan mutu makanan dijual.

Tidak rugi pun jika kita mengambil sikap seperti tiga peniaga ini malah saya difahamkan perniagaan mereka bertambah laris selepas kisah mereka
menjadi tular.

Masih ingatkah kes seorang peniaga di Terengganu yang dikritik hebat selepas seorang pelanggan tidak berpuas hati membuat aduan di media mengenai harga kepala ikan tongkol lauk nasi dagang yang terlalu mahal.

Ramai menyangka restoran peniaga itu akan diboikot selepas insiden berkenaan namun ia berlaku sebaliknya apabila perniagaannya semakin maju selepas itu.

Siapa sangka perkara seperti ini boleh berlaku. Paling penting peniaga itu tidak takut untuk tampil memberi penjelasan jika dia merasakan berada di pihak yang benar.

Penulis Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 12:48 AM