KUCING dibiarkan bebas bergerak di sekitar rumah.
KUCING dibiarkan bebas bergerak di sekitar rumah.
Muhamaad Razis Ismail

PADA mulanya, hanya dua kucing dipelihara sebagai penghibur di kala kesunyian.

Lama-kelamaan jumlah kucing semakin hari semakin bertambah sehingga pernah mencecah 50 ekor.

Berikutan jumlahnya yang semakin banyak, pemiliknya sanggup membina sebuah rumah khas untuk menempatkan si bulus ini.

Antara kucing yang dipelihara termasuk jenis persian mix, persian long hair, siam dan kucing terbiar yang diselamatkan.

Perkongsian Nur Syahirah Khalid, 26, di akaun TikToknya syahee18 mengenai keletah kucingnya tular di media sosial apabila mendapat sehingga 2.2 juta tontonan.

Lebih menarik, biarpun memiliki jumlah kucing yang banyak, namun Nur Syahirah tiada masalah mengingati nama setiap kucing peliharaannya.

Nur Syahirah berkata, ayahnya, Khalid Bulat dan ibunya, Shuaidza Jahya, mula memelihara kucing sejak mereka mula berkahwin sebagai pengisi kesunyian kerana masih belum dikurniakan cahaya mata.

"Hanya selepas empat tahun, barulah ibu disahkan hamil dan selamat melahirkan cahaya mata pertama. Pada ketika kakak dilahirkan, kucing sudah banyak di rumah.

ANTARA kucing yang dipelihara.
ANTARA kucing yang dipelihara.

PENJAGAAN kucing sentiasa diutamakan.
PENJAGAAN kucing sentiasa diutamakan.

"Jadi sejak dari kecil, kami dibesarkan bersama dengan semua kucing ini yang boleh dianggap seperti adik-beradik sendiri," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, selepas berpindah ke kediaman baru di Kampung Dato Kayaman, Perlis, sebuah rumah dibina khas untuk menempatkan semua kucing ini.

"Jumlah kucing yang semakin bertambah tidak dapat dipelihara di dalam rumah. Oleh itu ayah membina sebuah rumah untuk kucing-kucing ini.

"Rumah ini turut dilengkapi dengan lampu dan kipas yang dibuka selama 24 jam untuk keselesaan 'penghuninya," katanya.

Mengulas lanjut, dengan keluasan yang sederhana kucing ini bebas bergerak di dalam rumah terbabit.

"Kebiasaannya hanya pada waktu makan dan malam sahaja, mereka akan berada di dalam rumah ini. Manakala pada sebelahsiang, kucing ini dibiarkan bebas bergerak di persekitaran rumah," katanya.

Ditanya mengenai penjagaan kucingnya itu, setiap hari dia dan ibu bapanya akan bergilir-gilir membersihkan rumah itu dua kali sehari.

KUCING sudah menjadi sebahagian ahli keluarganya.
KUCING sudah menjadi sebahagian ahli keluarganya.

"Selepas solat Subuh, rumah ini akan dibersihkan dan kemudian kucing akan dilepaskan bermain di sekitar kawasan rumah.

"Makanan pula diberikan sebanyak tiga kali sehari. Semua kucing ini sememangnya akan pulang sendiri ke rumah apabila tiba waktu makan.

"Setiap bulan, sebanyak RM1,000 diperuntukkan untuk penjagaan semua kucing termasuk makanan, ubat, makanan tambahan dan pasir," katanya.

Penuntut Sarjana Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, biarpun jumlah kucing yang dipelihara agak banyak, kebajikan setiap kucing sentiasa diutamakan.

"Kucing yang sakit akan segera dibawa berjumpa dengan veterinar untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Katanya, berikutan jumlah yang semakin bertambah, baru-baru ini mereka membuat keputusan untuk menjual beberapa kucing.

"Sebenarnya ini adalah antara keputusan paling sukar kerana semua kucing ini kami sayang. Namun untuk mengelakkan kesesakan, kami terpaksa jual hanya kepada pelanggan yang kami kenali untuk memastikan kucing dijaga dengan baik.

"Hasil jualan kucing turut digunakan untuk menampung kos penjagaan kucing sedia ada," katanya.

Sementara itu, bagi Shuaidza, semua kucing yang dipelihara sudah dianggap seperti anak sendiri.

"Perkara paling menyedihkan apabila kucing ini mati sama ada sakit atau sudah berusia kerana setiap kucing yang dipelihara mempunyai kenangan tersendiri dengan diri saya.

"Oleh itu, saya akan cuba sedaya upaya memastikan semua kucing ini terjaga dengan baik," katanya.

DIBERI makan tiga kali sehari.
DIBERI makan tiga kali sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 9:09 AM