Muhamaad Razis Ismail

Siapa sangka bermula sekadar hobi memelihara kucing maine coon, ia membuka peluang kepada pemiliknya untuk menjelajah ke seluruh pelusuk dunia.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, hampir setiap minggu Mohd Hafizul Mew Hamzah berulang-alik ke luar negara untuk menyertai pertandingan kucing selain dijemput menjadi juri pertandingan.

Pernah juga beberapa kali, pemilik kateri Ciku-Kiwi ini hanya berada di sesebuah negara dalam tempoh 24 jam untuk menguruskan penghantaran dan pengambilan kucing maine coon daripada pelanggannya sebelum kembali ke tanah air.

Kualiti kucing maine coon yang dimiliki bukan sembarangan, apabila berjaya memenangi pelbagai anugerah utama di dalam dan luar negara.

PERLU meluangkan lebih masa dengan maine coon.
PERLU meluangkan lebih masa dengan maine coon.

Mohd Hafizul berkata, Ciku Kiwi yang berdaftar dengan Cat Fanciers' Association (CFA) aktif menyertai pertandingan kucing di dalam dan luar negara.

"Apabila berdaftar dengan CFA, saya dapat menyertai pertandingan berskala besar sehingga ke peringkat antarabangsa sekali gus dapat bersaing dengan peserta luar negara.

"Alhamdulillah, banyak anugerah yang diperoleh sejak menyertai pertandingan kucing termasuk 'Best Maine Coon Malaysia, Best Maine Coon Kitten International dan Best Kitten All Breed International," katanya.

KUCING jenis maine coon bawa pemilik jelajah hampir ke seluruh pelusuk dunia.
KUCING jenis maine coon bawa pemilik jelajah hampir ke seluruh pelusuk dunia.

Jelasnya, kemenangan yang diperoleh ini bukan sahaja mengharumkan nama negara di persada antarabangsa malah menaikkan reputasi Ciku Kiwi.

"Hanya dengan menyertai pertandingan, saya dapat membuktikan kucing maine coon yang dipelihara adalah berkualiti.

"Sebagai pembiak kucing maine coon, kemenangan ini amat penting untuk meletakkan nama Ciku Kiwi disegani dalam kalangan peminat kucing jenis ini," katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia memelihara kucing maine coon sekadar hobi kerana tertarik dengan keunikan saiz haiwan itu yang besar.

"Kucing yang mampu mencecah berat sehingga 16 kilogram ini juga sangat manja dengan pemiliknya. Biarpun bersaiz besar, ia berperwatakan lembut dan mudah 'berkawan' dengan kucing lain sehingga mendapat jolokan 'gentle giants'.

"Selain itu, ia juga bijak, mampu memahami arahan dan sangat setia dengan tuannya," katanya.

SAIZ maine coon lebih besar berbanding kucing lain.
SAIZ maine coon lebih besar berbanding kucing lain.

Mengulas lanjut, biarpun dikategorikan sebagai kucing kayangan, penjagaannya sangat ringkas dan mudah.

"Secara amnya, penjagaan kucing ini sama seperti kucing biasa lain. Bulunya yang tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek ini sangat mudah diurus.

"Saya hanya berikan makanan kering dan dua jenis makanan tambahan," katanya.

Bagaimanapun untuk kucing yang menyertai pertandingan, ia memerlukan sedikit perhatian daripada segi penjagaan.

"Biasanya, kucing ini akan dimandi setiap seminggu atau dua minggu sekali. Selain itu, ia akan diasingkan daripada kucing lain untuk elakkan risiko kemalangan," katanya.

 SANGAT rapat dengan pemiliknya.
SANGAT rapat dengan pemiliknya.

Biarpun begitu, perkara paling penting adalah pemilik perlu memastikan sentiasa mempunyai masa yang mencukupi untuk bermain maine coon.

"Kucing ini mudah stres, apabila dibiarkan sendirian di dalam sangkar dalam tempoh yang lama.

"Oleh itu, pemilik atau individu lain di dalam rumah perlu meluangkan masa dengan kucing ini. Cara lain adalah dapatkan seekor lagi kucing untuk menemaninya," katanya.

MOHD Hafizul bersama kucing maine coon miliknya .
MOHD Hafizul bersama kucing maine coon miliknya .

Tambahnya, sebagai pembiak maine coon yang cukup disegani, kualiti kucing sentiasa diutamakan.

"Biasanya, saya sudah buat perancangan dengan baka yang berkualiti untuk memastikan anak yang dilahirkan memenuhi ciri yang diinginkan selain sihat.

"Kebanyakan peminat kucing ini amat mementingkan kualiti dengan sanggup mengeluarkan sehingga puluhan ribu ringgit," katanya.

Katanya, harga yang ditetapkan bermula daripada RM8,500 sehingga RM30,000 bergantung kepada kualiti kucing.

BANYAK memenangi pertandingan kucing di dalam dan luar negara.
BANYAK memenangi pertandingan kucing di dalam dan luar negara.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berharap dapat menyertai lebih banyak pertandingan kucing di dalam mahupun di luar negara.

"Alhamdulillah keadaan sudah semakin pulih dan saya berharap pertandingan dapat dianjurkan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 6:20 AM