KUACI ketika diambil Julie.
KUACI ketika diambil Julie.
Hafiz Ithnin


"Bagi saya, memiliki haiwan peliharaan seperti kucing ini adalah satu terapi. Kalau kita rasa tertekan, emosi terus dalam keadaan baik apabila melihat telatahnya," kata pemilik kucing campuran baka parsi dan tempatan itu kepada penulis.

Julie Jalaluddin, 34, membela kucing kesayangannya, Kuaci pada November tahun lalu sebaik sahaja haiwan itu 'putus susu' daripada ibunya.

Bagi Julie, dia sememangnya pencinta kepada si comel itu tetapi tidak pernah membayangkan untuk memilikinya secara serius.

"Sebelum memiliki Kuaci, saya mengalami sedikit tekanan emosi dan bercadang untuk mempunyai seekor kucing kerana menerusi pembacaan haiwan itu mampu membantu memberi ketenangan.

"Jadi dalam tempoh sebulan juga saya membuat banyak pembacaan mengenai cara penjagaan kucing supaya dapat menjaganya dengan baik dan sihat," katanya.

Julie berkata, dia memiliki Kuaci selepas kawannya memuat naik status di laman sosial untuk memberikan kucing kepada peminat haiwan berkenaan memandangkan kawannya itu mempunyai jumlah kucing yang agak banyak.

"Apabila melihat status itu, saya terus bertanya kepadanya untuk mengambil Kuaci sebagai haiwan peliharaan. Paling penting saya sudah melakukan banyak pembacaan mengenai cara penjagaannya.

"Perkara ini penting supaya sebagai pemilik, saya dapat memahami mengenai diet, kesihatan dan cara mengendalikan kelakuan kucing yang mungkin boleh memberi masalah kepada pemilik," katanya.

Tambahnya lagi, dari segi kesihatan, Kuaci sudah pun menerima tiga vaksin yang penting supaya haiwan itu tidak mudah mendapat penyakit.

Selain itu, kucing kesayangannya itu juga dimandulkan sebaik sahaja selesai vaksin ketiga supaya Julie tidak mempunyai jumlah kucing yang banyak dan khuatir tidak dapat memberi perhatian kelak.

"Sebagai pemilik, kesihatan kucing menjadi perkara paling utama dalam penjagaannya jadi saya sering melihat tingkah laku dan

perubahan bentuk najis kerana ia adalah petanda awal boleh dilihat sekiranya haiwan kesayangan tidak sihat.

LAGAK muka bersahaja yang comel.
LAGAK muka bersahaja yang comel.

"Pernah suatu ketika, Kuaci keluar rumah dan mengalami retak di tulang pinggul mungkin bergaduh atau terjatuh tetapi doktor mengatakan tidak perlu melalui proses pembedahan memandangkan ia masih kecil selain boleh pulih secara semula jadi," katanya.

Julie berkata, pemakanan juga menjadi perkara yang diutamakan kerana ia memberi kesan kepada kesihatan si comel miliknya.

Katanya, dia menyediakan makanan jenis palet kering premium yang mempunyai diet lengkap untuk kucing dan seminggu sekali dihidangkan juga makanan basah.

"Saya juga menyediakan bekas najis yang diisi dengan jenis tofu kerana ia lebih selamat untuk kucing, tidak berdebu dan boleh dibuang ke dalam mangkuk tandas serta mudah untuk diuruskan.

"Jika menggunakan pasir biasa, saya khuatir pasir yang terlekat di kaki mempunyai bahan kimia yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan Kuaci," katanya.

Tambahnya, dia juga membawa Kuaci ke pusat 'grooming' sebulan sekali bagi memastikan haiwan kesayangannya dalam keadaan bersih.

"Apabila menghantar ke pusat grooming, pakar akan memandikan dengan menggunakan syampu khas, memotong kuku dan membersihkan telinga.

"Kebersihan kucing amat penting kepada saya kerana haiwan itu sentiasa bersama dengan ahli keluarga. Jadi, isu kebersihan amat diberi perhatian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:45 AM