MOHD Zaman bersama kucing jalanan yang diselamatkan.
MOHD Zaman bersama kucing jalanan yang diselamatkan.
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP hari, dia hanya masuk tidur pada jam 4 pagi selepas memberi makan kepada kucing jalanan di sekitar tempat tinggalnya di Kulim, Kedah.

Bukan itu sahaja, Mohd Zaman Hamid, 36, turut membawa pulang kucing jalanan yang cedera dan tidak sihat untuk dirawat.

Selepas dirawat, haiwan itu dipindahkan ke sebuah rumah teres yang disewa khas untuk menempatkan lebih 400 kucing jalanan di hadapan rumahnya.

Rumah yang disewa RM300 sebulan itu turut diubah suai dengan kebenaran pemilik rumah terbabit untuk keselesaan kucing kesayangannya yang dianggap seperti anak sendiri.

Bukan itu sahaja, setiap bulan Mohd Zaman membelanjakan RM15,000 untuk makanan, ubat-ubatan dan sebagainya dengan duit poketnya sendiri tanpa mengharapkan bantuan mana-mana pihak.

Mohd Zaman berkata, rutin harian bermula pada sebelah pagi selama dua jam dengan memberi makanan dan membersihkan rumah yang menempatkan kucingnya itu.

Katanya, dia kemudian keluar bekerja sebelum pulang ke rumah pada sebelah petang.

"Selepas berehat dan meluangkan masa bersama keluarga, pada 11 malam, saya sekali lagi membersihkan rumah itu dan menambah makanan kucing sehingga 1 pagi.

"Kemudian saya keluar dengan menunggang motosikal bersama makanan dan ubat-ubatan untuk diberikan kepada kucing jalanan di kawasan sekitar.

"Sekiranya terdapat kucing yang sakit, saya akan bawa pulang untuk dirawat. Biasanya saya kembali ke rumah sekitar 4 pagi (sebelum Sekatan Pergerakan Penuh) dilaksanakan.

"Demikian rutin harian saya sejak beberapa tahun lalu dan bersyukur isteri sangat memahaminya," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semua tercetus apabila dia melihat seekor ibu kucing mati selepas dilanggar kenderaan.

"Saya sebak melihat dua anak kucing masih menghisap susu ibunya yang sudah tidak bernyawa. Saya kemudian mengambil anak kucing itu untuk dipelihara di rumah.

KUCING bebas bergerak dalam rumah.
KUCING bebas bergerak dalam rumah.

"Kejadian itu menjentik hati saya untuk terus menyelamat kucing jalanan di sekitar daerah ini sehingga kini," katanya.

Jelasnya, pada mulanya semua kucing itu tinggal bersamanya sehingga menimbulkan sedikit masalah dalam kalangan jiran.

"Apabila jumlah bertambah, saya ambil keputusan untuk menyewa sebuah rumah teres yang terletak di hadapan rumah saya untuk menempatkan semua kucing di sana.

"Alhamdulillah, jiran di kawasan perumahan ini amat memahami usaha saya menyelamat kucing jalanan ini daripada terbiar," katanya.

Mohd Zaman berkata, biarpun perlu mengeluarkan belanja yang agak besar untuk menguruskan kucing jalanan, namun dia tidak pernah mengeluh.

"Saya percaya ini adalah ujian untuk melihat bagaimana saya belanjakan wang daripada rezeki yang diperoleh.

"Jujur sejak terbabit dengan aktiviti ini, urusan saya sentiasa dipermudahkan dan dimurahkan rezeki," katanya yang menyediakan perkhidmatan membina dan menyelenggara landskap.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat membina sebuah rumah di kawasan perkampungan yang mampu menempatkan sehingga 2,000 kucing jalanan pada satu-satu masa.

"Saya juga mahu menggaji dua pekerja untuk menjaga keperluan kucing ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 6:44 AM