MEMANDULKAN kucing boleh mengelakkan risiko kucing mendapat barah.
MEMANDULKAN kucing boleh mengelakkan risiko kucing mendapat barah.
Hafiz Ithnin


MEMANDULKAN kucing kesayangan anda sebenarnya boleh mengelakkan si comel mendapat barah terutama bagi si betina yang terdedah dengan barah rahim.

Perkara itu yang dikongsikan Pengasas Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty's Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim selain mengakui, memandulkan kucing juga boleh mengurangkan haiwan peliharaan itu mendapat risiko penyakit berjangkit apabila bergaduh dengan kucing lain.

Dr Muhammad Naim menjelaskan, pemandulan adalah proses pembedahan yang hanya boleh dilakukan doktor haiwan bertauliah.

"Pemandulan kucing boleh dilakukan terhadap kedua-dua jantina. Bagi jantan dipanggil 'castration' dan betina pula dipanggil 'spaying.'

"Pemandulan kucing jantan boleh dilakukan apabila kedua-dua testis (telur) sudah turun ke kantung telur. Secara amnya kedua-dua telur ini akan kelihatan seawal empat bulan dan ke atas," katanya yang memiliki tiga cawangan di TTDI Grove di Kajang, Presint 8 di Putrajaya dan Bandar Sri Permaisuri di Cheras.

Katanya, proses pemandulan membabitkan penggunaan ubat bius penuh dengan kucing akan tidur sepenuhnya sepanjang prosedur dijalankan.

"Kawasan kantung telur dicukur bersih dan potongan kecil akan dilakukan di bahagian kantung telur dan testis dikeluarkan.

"Bahagian ini tidak dijahit kerana potongan yang dilakukan amat kecil dan kering dalam tempoh tiga hingga lima hari," katanya.

MEMANDULKAN kucing perlu dilakukan doktor haiwan bertauliah.
MEMANDULKAN kucing perlu dilakukan doktor haiwan bertauliah.

Beliau turut menjelaskan penjagaan kucing jantan adalah lebih mudah dibandingkan kucing betina apabila kita hanya perlu pastikan tempat pembedahan sentiasa bersih dan kering.

"Selain itu, perlu memastikan tiada nanah atau jangkitan di bahagian belahan. Tambahan, pemilik perlu kurung kucing dalam tempoh tiga hingga lima hari bagi memastikan kucing sembuh sepenuhnya

"Pemandulan kucing betina atau lebih dikenali sebagai 'spaying' adalah prosedur mengeluarkan rahim dan kilang telur (ovari) sepenuhnya dari kucing berkenaan," katanya.

Katanya, tujuan utama prosedur itu dijalankan untuk mengelakkan kucing berkenaan bunting. Prosedur 'spaying' membabitkan penggunaan bius yang penuh di mana kucing tidak sedar atau rasa sakit sepanjang prosedur dijalankan.

"Belahan dilakukan kebiasaannya pada saiz dua hingga lima sentimeter bergantung kepada saiz dan kedudukan rahim. Jahitan dilakukan pada tiga lapisan iaitu pada otot, lemak dan kulit.

"Kebiasaannya kucing memerlukan satu hingga dua minggu untuk sembuh sepenuhnya. Kucing perlu dikurung supaya pergerakan dapat dikawal dan memudahkan pemerhatian terhadap luka pembedahan itu," katanya.

Jelasnya, antara perkara yang perlu dipantau adalah kesan jahitan perlu sentiasa kering dan bersih, tiada luka ataupun nanah di bahagian surgeri serta jahitan tertutup rapat selain cantik.

DR MUHAMMAD NAIM
DR MUHAMMAD NAIM

Kebaikan pemandulan kucing:

- Kurangkan sifat agresif dan merayap

- Mengurangkan risiko penyakit berjangkit disebabkan pergaduhan

- Mengurangkan masalah memancut kencing dan menanda

- Mengurangkan risiko menghidapi barah

- Mengurangkan risiko nanah dalam rahim (pyometra)

- Mengurangkan populasi kucing terbiar

- Meningkatkan jangka hayat kucing antara tiga hingga lima tahun

- Kucing menjadi lebih manja dan sihat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 6:40 AM