Nurul Husna Mahmud


IKAN 'predator' atau ikan pemangsa yang berasal dari Sungai Amazon, Brazil dikatakan spesies ikan yang memiliki tabiat agresif.

Karakter ikan ini yang memiliki gigi tajam selain cepat membesar membuatkan ia mampu menyambar apa sahaja haiwan yang muncul di depannya sebagai makanan termasuk burung dan mamalia.

Dengan reputasi berkenaan, pasti ramai menyangkakan ikan ini tidak mungkin menjadi pilihan sebagai ikan belaan seperti ikan hiasan lain.

Namun, tidak bagi Darwish Firas Zuljamal, 20, yang tertarik dengan 'naluri ekstrem' semula jadi haiwan berkenaan apabila menyambar makanan iaitu ikan keli potong.

Dia yang juga cef restoran D'Rakit di Klang, Selangor itu melihat reaksi ikan kesayangannya menyambar makanan dan berenang di kolam peliharaan di rumah keluarganya di Jalan Kebun, di sini, sebagai satu kepuasan.

"Minat saya terhadap ikan ini sehinggalah kepada kesanggupan memelihara hanya bermula sejak setahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 yang mana mempunyai banyak masa terluang.

"Saya mengenali komuniti ikan 'predator' dan mula buat penyelidikan sedikit mengenai ikan aligator iaitu ikan memiliki muncung seperti buaya.

"Apatah lagi saya bela dari saiz ikan itu 30 sentimeter lagi dan kini hampir satu meter panjangnya. Ikan aligator ini boleh mencecah hingga tiga meter dan memiliki berat hampir 200 kilogram dalam habitat asalnya," katanya.

Kata Darwish, meskipun ikan 'predator' ini tahan lasak, namun pemiliknya masih perlu tahu tabiat dan cara penjagaan bagi mengelak masalah berkait dengan penyakit dan sebagainya.

"Saya bela ikan ini kerana minat. Jadi, saya sanggup berhabis dan mendalami cara membela haiwan itu daripada 'otai' (orang lama) yang memelihara ikan ini selain petua penting diturunkan ialah perlu pastikan kualiti air dalam keadaan baik.

"Dalam kolam ini saya gunakan sistem tiga lapisan saringan. Saringan pertama ialah saringan mekanikal yang menapis kotoran atau segala sisa terkumpul di sini.

"Saringan kedua pula ialah saringan bio yang mana memastikan bakteria baik terkumpul dan merawat air mengikut kualiti sewajarnya iaitu kandungan ammonia rendah serta oksigen tinggi.

DARWISH menggunakan berus sebagai material dalam tapisan air mekanikal.
DARWISH menggunakan berus sebagai material dalam tapisan air mekanikal.

"Ketiga ialah air yang bersih menerusi pam air dan sistem ini pada saya paling asas jika mahu memelihara spesies ikan pemangsa," katanya.

Tambahnya lagi, dalam koleksi ikan pemangsa dimiliki mencecah 20 ekor termasuk spesies ikan batu dikatakan tergolong dalam keluarga ikan pirana, ikan keli ekor kuning arowana.

Turut berada dalam kolam sama ialah ikan patin dan ikan bandaraya albino yang berusia lebih 10 tahun.

Antara tip dikongsi Darwish ialah makanan perlu diberi kepada ikan peliharaan sebaiknya ikan sejuk beku atau ikan mati berbanding ikan hidup.

"Selain tidak meletakkan ikan pemangsa dengan ikan hiasan atau bersaiz kecil. Selain elakkan memberi makan ikan hidup.

"Saya suka beri makan ikan yang sudah mati. Biasanya untuk sebulan saya memperuntukkan 10 kilogram ikan keli yang dipotong dan sejuk beku untuk diberi kepada ikan peliharaan saya.

"Malah, saya tidak beri ikan hidup kerana mahu elak risiko penyakit kerana kita tidak tahu ikan dari kolam atau akuarium lain bebas penyakit atau sebaliknya," katanya memperuntukkan RM100 sebulan untuk kos makanan.

Menyentuh berkenaan hobi itu dikatakan terapi, kata Darwish, tidak dinafikan ikan kesayangan itu banyak membantu dia menenangkan diri.

"Kalau saya rasa ada masalah, saya akan pergi lihat dan 'bercakap-cakap' dengan ikan ini seolah-olah mereka ini kawan saya.

"Kaedah ini membantu saya menangani stres selain memberikan ketenangan. Pada saya setiap hobi itu meskipun ada kalanya menuntut kos dan tenaga, tetapi ia sesuatu yang berbaloi jika memberi kesan baik sama ada emosi atau fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:50 AM
SATU kepuasan melihat aksi ikan kesayangan menyambar makanan.
SATU kepuasan melihat aksi ikan kesayangan menyambar makanan.