AISHAH memilih pelihara kucing jenis British shorthair (BSH) dan British longhair (BLH) warna ‘golden’ sejak empat tahun lalu.
AISHAH memilih pelihara kucing jenis British shorthair (BSH) dan British longhair (BLH) warna ‘golden’ sejak empat tahun lalu.
Muhamaad Razis Ismail


KESIBUKAN menguruskan perniagaan, tidak menghalang wanita ini untuk meneruskan minatnya memelihara kucing sejak kecil.

Jadi tidak hairanlah, Aishah Ab Rahim cenderung memilih untuk memelihara kucing jenis British shorthair (BSH) dan British longhair (BLH) serta cenderung kepada warna 'golden' sejak empat tahun lalu.

Selain memiliki bulu yang cantik dan bentuk badan serta muka yang bulat, kucing ini memiliki karakter yang manja serta berdikari.

Jadi, ia sangat bersesuaian dengan Aishah yang sangat sibuk dengan kerjaya, tetapi masih dapat meluangkan masa bersama haiwan peliharaannya.

Kini bermula daripada sekadar hobi, pemilik pusat penjagaan kucing, Fawz Furry ini mampu menjana pendapatan untuk menampung keperluan bulanan kucingnya yang menelan belanja agak besar.

Bermula daripada seekor, kini, beliau sudah memiliki kira-kira 40 kucing BSH dan BLH yang dipelihara di rumah dan di pusat penjagaan kucing miliknya di Shah Alam, Selangor.

AKTIF dan suka bermain.
AKTIF dan suka bermain.

Aishah berkata, minat terhadap kucing sudah tercetus sejak daripada kecil.

Katanya, dia bermula memelihara pelbagai jenis kucing termasuk jenis kucing domestik dan parsi.

"Bagaimanapun pada 2018, saya mula tertarik dengan BSH Golden dan memiliki seekor kucing jenis itu yang dinamakan sebagai Tiara.

"Apabila mula memeliharanya, saya dapati penjagaannya sangat mudah berbanding kucing import lain.

"Apa yang menarik perhatian saya adalah karakternya yang manja dan berdikari," katanya ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.

REBEN kemenangan yang diperoleh menerusi pertandingan yang disertai.
REBEN kemenangan yang diperoleh menerusi pertandingan yang disertai.

Menurutnya, biarpun begitu, beliau tetap akan mencuri masa untuk meluangkan masa dengan semua kucingnya.

"Biarpun ia (kucing) pandai berdikari, tidak bermakna saya boleh lepas tangan begitu sahaja.

"Biasanya setiap pagi saya akan peruntukkan masa dengan kucing sebelum keluar bekerja. Apabila pulang, sekali lagi saya akan bermain dengan mereka," katanya.

Jelasnya, kehadiran Tiara yang berdaftar di bawah Feline International Feline (FIFe), membuka pintu rezeki apabila berjaya memenangi banyak pertandingan kucing di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa anjuran Kelab Kucing Malaysia.

"Menerusi pertandingan ini, saya belajar banyak perkara mengenai BSH yang berkualiti.

ANAKNYA, Mohammad Eusoff Fawz Mohammad Iskandar turut berkongsi minat sama.
ANAKNYA, Mohammad Eusoff Fawz Mohammad Iskandar turut berkongsi minat sama.

"Selain itu, terdapat beberapa kucing BSH yang dipelihara turut memenangi pertandingan yang dianjurkan," katanya.

Beliau berkata, kucing jenis ini sebenarnya tidak sukar dan tidak memerlukan penjagaan terlalu teliti.

"Biasanya, kucing akan diberikan vaksin apabila berat badannya mencecah satu kilogram. Pada masa sama, ubat cacing dan kutu turut diberikan mengikut masa untuk pastikan ia sentiasa sihat.

"Saya juga memberi makanan yang dikhaskan untuk kucing jenis ini dan memberi daging mentah," katanya.

Melihat potensi besar dan permintaan tinggi, beliau aktif membiakkan kucing jenis ini sejak dua tahun lalu.

KUCINGNYA dibiarkan bebas berkeliaran.
KUCINGNYA dibiarkan bebas berkeliaran.

"Biasanya baka induk saya beli dari Rusia untuk dibiakkan di sini. Bagaimanapun saya akan buat kajian dahulu salasilah kucing itu untuk pastikan ia melahirkan kucing berkualiti.

"Harganya mencecah RM6,000 ke atas bergantung kepada profil kucing. Malah saya pernah ditawarkan belasan ribu untuk kucing yang pernah memenangi pertandingan," katanya.

Aishah mengakui melihat tanda harga yang diberikan, ramai yang menganggap ia terlalu mahal.

"Bagaimanapun, untuk membiakkan kucing ini tidak mudah dan memerlukan kos yang agak tinggi antaranya untuk penjagaan kesihatan, makanan, tempat yang selesa, pekerja, bil dan sebagainya.

"Untuk setiap kucing, kita perlu peruntukkan wang kecemasan khas rawatan kucing yang jatuh sakit secara tiba-tiba. Perlu diingat, kucing ini bukan macam manusia, kalau sakit ada insurans," katanya.

BSH Golden pertama Aishah menang banyak pertandingan kucing peringkat tempatan, antarabangsa.
BSH Golden pertama Aishah menang banyak pertandingan kucing peringkat tempatan, antarabangsa.

Ditanya perancangan masa hadapan, beliau berhasrat untuk membiak lebih banyak kucing berkualiti berprofil tinggi setanding di luar negara.

"Harga kucing ini, di luar negara, sangat mahal. Jadi, saya berhasrat untuk membiak lebih banyak kucing berprofil tinggi untuk pasaran tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 6:59 AM