MUHAMMAD Fauzi sudah lapan tahun terbabit dalam penjagaan ikan laga.
MUHAMMAD Fauzi sudah lapan tahun terbabit dalam penjagaan ikan laga.
Muhamaad Razis Ismail


MEMBELA ikan laga kini sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hampir setiap minggu pertandingan ikan laga yang dianjurkan mendapat sambutan luar biasa.

Terkenal sebagai ikan paya pada suatu ketika dahulu, ikan laga kini menjadi pilihan sebagai haiwan peliharaan kerana keunikan fizikal dan warnanya.

Jadi tidak hairan, ada yang sanggup membelanjakan sehingga ribuan ringgit untuk mendapatkan ikan laga yang bergred tinggi.

Bagaimanapun, masih ramai terutama yang masih baru mengambil mudah penjagaan ikan laga menyebabkan ia sakit dan mati dengan cepat.

Perkara ini diakui pemilik Betta G Melaka Mini Farm, Muhammad Fauzi Mad Yusop, 31, yang sudah lapan tahun terbabit dalam bidang ini.

"Biarpun ikan ini terkenal sebagai ikan yang lasak namun aspek penjagaan kebersihan air dan makanan memainkan peranan penting supaya ia terus kekal sihat dan aktif.

"Kesilapan yang biasa dilakukan, ramai yang tidak mempunyai pengetahuan asas dalam penjagaan ikan laga," katanya ketika dihubungi.

Terdapat beberapa penyakit yang boleh menyerang ikan laga akibat penjagaan air tidak sesuai termasuk 'white spot', velvet dan kuncup sirip.

Menurutnya, penjagaan air memainkan peranan penting bukan sahaja supaya ikan laga terus hidup malah dapat membesar dengan cepat dan menaikkan warnanya.

"Penggunaan air paip yang mengandungi klorin boleh mengakibatkan ikan mati dengan cepat. Oleh itu, anda dinasihatkan menggunakan air yang ditadah dalam bekas selama empat hari atau gunakan cecair anti klorin.

"Penukaran air juga perlu dilakukan antara empat hingga tujuh hari untuk memastikan ikan sihat dan cantik," katanya.

IKAN laga yang sihat sentiasa aktif berenang.
IKAN laga yang sihat sentiasa aktif berenang.

Selain itu, boleh masukkan daun ketapang dalam air untuk menurunkan pH air.

"Habitat asal ikan laga adalah di paya. Jadi, daun ketapang dapat bantu turun nilai pH dan memasamkan air seperti air paya.

"Kaedah ini bukan sahaja dapat membantu ikan menjadi lebih sihat dan warna lebih cantik, malah air dapat bertahan lebih lama," katanya.

Jelasnya, pemilihan makanan yang diberikan kepada ikan laga juga menjadi penyumbang kepada kebersihan air.

"Biasanya palet yang diberikan kepada ikan berminyak dan boleh menyebabkan air menjadi cepat kotor sehingga ia perlu ditukar dengan lebih kerap.

"Saya cadangkan berikan makanan hidup seperti kutu air, jentik-jentik, cacing sutera yang baik untuk pembesaran ikan," katanya.

Muhammad Fauzi yang kerap berkongsi ilmu di saluran YouTube itu berkata, penjagaan ikan laga nampak mudah, namun memerlukan ilmu dan komitmen yang tinggi

"Peminat ikan laga dinasihatkan sediakan keperluan mencukupi termasuk air, bekas, makanan dan ubat-ubatan.

"Mulakan dengan ikan bergred rendah yang lebih mudah kerana dari situ kita boleh belajar mengenai penjagaan ikan laga dan memupuk minat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:44 AM