KUKU kucing perlu dipotong dua minggu sekali.
KUKU kucing perlu dipotong dua minggu sekali.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Berhabis ribuan ringgit sebulan semata-mata minat terhadap kucing memang tidak ramai yang sanggup melakukannya.

Bagi Mohd Nirman Mohamad Najib, 39, dia tidak kisah berhabis ribuan ringgit asalkan tiga kucing kesayanganya terjaga.

Kucing jenis British Shorthair yang diberi nama Pogo, Maya serta Mayang itu dibeli pada 2015 dan kini menjadi peneman setianya di rumah.

Kata Mohd Nirman, demi menjaga kesihatan dan kecantikan bulu kucingnya, dia hanya memberikan makanan jenis premium.

"Kucing terutama jenis baka import perlu penjagaan rapi dan saya pastikan kukunya dipotong dua minggu sekali.

"Tahi matanya juga perlu dilap manakala telinga harus dikorek seminggu sekali.

"Selain itu, bulu kucing juga perlu disikat sekali sehari dan diberi ubat kutu tiga bulan sekali," katanya.

Menurut Mohd Nirman lagi, kucing tidak boleh dimandikan dengan kerap kerana ia mudah selesema dan demam.

Kekerapan yang sesuai adalah sekali atau dua kali sahaja dalam seminggu.

"Sisa buangan kucing juga perlu sentiasa dibersihkan dan pasirnya perlu ditukar sekerap mungkin.

POGO kesayangan Mohd Nirman.
POGO kesayangan Mohd Nirman.

"Memandangkan keadaan Covid-19 ketika ini, saya juga amalkan membasuh tangan sebelum dan selepas memegang kucing.

"Ia bagi mengelakkan kucing terkena jangkitan kuman kerana jangkitan boleh berlaku daripada manusia kepada kucing," katanya.

Sementara itu, kucing juga menjadi asbab menemukan Mohd Nirman dengan isterinya, Nur Saleehah Raeza Mohd Nizam.

Pengantin baharu itu berkata, isterinya itu ada menegurnya mengenai kucing keluarganya, Evian di laman sosial.

BERTEMU jodoh dengan isteri kerana kucing.
BERTEMU jodoh dengan isteri kerana kucing.

"Isteri ada memberi komen terhadap gambar kucing yang dimuat naik di media sosial dan sejak itu kami berkenalan.

"Saya memilih dia sebagai teman hidup kerana dia juga menyayangi kucing dan tidak kekok menjaga haiwan itu.

"Dengan restu keluarga, alhamdulillah pada 4 April lalu, kami melangsungkan perkahwinan dan Evian turut menjadi saksi detik bermakna itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 7:00 AM