LENOVO Legion Go.
LENOVO Legion Go.
Muhammad Saufi Hassan


Pengeluar perkakas pintar terkemuka, Lenovo memperkenalkan peranti permainan mudah alih pertama mereka iaitu Lenovo Legion Go yang dikuasakan dengan cip pemproses AMD Ryzen Z1 Extreme.

  Pengenalan peranti permainan mudah alih berkenaan sekali gus mengubah landskap serta memberikan kebebasan kepada pemain untuk menikmati permainan kegemaran mereka tidak mengira tempat atau waktu.

  Peneraju Perniagaan Pengguna Asia Pasifik Lenovo, Leon Yu berkata, inovasi ialah asas perniagaan Lenovo dan kuasa serta prestasi tertanam dalam DNA Lenovo Legion.

  "Barisan perubahan permainan Legion yang direka untuk memenuhi keperluan dunia permainan yang semakin berkembang, memberikan prestasi yang tidak dapat ditandingi, serba boleh dan permainan yang mengasyikkan pada skala global.

  "Rantau Asia Pasifik ini penting kerana ia adalah hab permainan penting dengan 1.7 bilion PC dan pemain mudah alih sedang memupuk generasi pemain seterusnya serta berfungsi sebagai pasaran penting untuk Lenovo Legion.

  "Melalui inovasi ini, kami mencipta pengalaman permainan yang mengasyikkan untuk memenuhi jangkaan pemain kami di rantau ini," katanya.

  Menyentuh aspek spesifikasi bagi Lenovo Legion Go berkenaan, ia menggunakan sistem operasi Windows 11 dengan pemuka mudah alih bersama-sama cip pemproses AMD Ryzen Z1 Extreme serta grafik RDNA.

  Peranti ini didatangkan dengan 8.8 inci QHD+ sekali gus menjadi peranti mudah alih yang mempunyai skrin pemuka paling besar setakat ini.

  Paparan juga menyokong kadar segar semula 144Hz serta sesuai untuk semua jenis permainan khususnya kompetatif.

  Sesuai dengan peranti kelas permainan mudah alih, sokongan memori (RAM) sehingga 16GB LPDDR5X dengan frekuensi kelajuan 7,500MHz bersama storan sokongan tambahan sehingga 1TB PCIe Gen4 SSD.

  Legion Go ini didatangkan dengan kapasiti bateri 49.2Wh yang menyokong 'Rapid Charge'.

  Bagi peranti permainan mudah alih ini, tanda harga adalah RM3,999 dan pemain boleh menikmati pengalaman permainan tanpa henti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 3:34 PM