Kuala Lumpur: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal memperkenalkan peranti 'Tablet Rahmah' pada harga mampu milik kepada anak ahli koperasi, September ini.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, tawaran itu bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa para pelajar institut pengajian yang berdepan kos pendidikan yang tinggi ketika ini.
"Tidak semua pelajar mempunyai keupayaan untuk memiliki komputer, dan ini merupakan salah satu cabaran yang menghalang kemajuan mereka.
"Dengan menjual komputer kepada pelajar pada harga lebih rendah, kita bukan sahaja membuat keputusan perniagaan, tetapi kami juga menyemai benih masa depan lebih cerah, saksama dan sejahtera untuk semua," katanya kepada di sini.
Peranti itu dijual di pusat beli-belah SOGO (KL) Department Store Sdn Bhd dalam dua varian iaitu RM770 dan RM925.
Varian pertama menawarkan skrin 10.1 inci, cip MediaTek MT8788 Octa Core 2GHz bersama 6GB RAM dan setoran 128 GB dan bateri 6500mAh.
Varian kedua menawarkan skrin 10.36 inci, cip MediaTek Helio G99 Octa Core 2.2GHz bersama 8GB RAM, setoran ROM 256GB dan 6000mAh.
Kedua-dua varian menyokong rangkaian 4G dan WiFi.