Muhammad Saufi Hassan


Apple mengumumkan pelancaran perisian suntingan video kelas profesional iaitu Final Cut Pro dan Logic Pro untuk platform iPad.

  Pencipta kandungan serta muzik kini boleh melancarkan kreativiti mereka dengan cara baharu yang hanya boleh dilakukan menerusi peranti iPad.

  Final Cut Pro dan Logic Pro untuk iPad membawakan antara muka sesentuh serba baharu yang membolehkan pengguna mempertingkatkan aliran kerja mereka dengan efektif dan intuitif.

  Perisian Final Cut Pro untuk iPad ini bakal mengubah landskap suntingan video sekali gus menjadikan setiap tugasan lebih mudah, boleh dilaksanakan di mana saja serta mudah untuk diakses menggunakan iPad.

  Bagi Logic Pro untuk iPad meletakkan kuasa penciptaan muzik profesional di tangan penghasil karya tidak kira di mana mereka berada dengan koleksi lengkap alatan canggih untuk menulis lagu, membuat rentak, merakam, mengedit dan mengadun.

  Final Cut Pro dan Logic Pro untuk iPad akan tersedia menerusi platform gedung aplikasi, App Store sebagai langganan bermula24 Mei ini.

  Naib Presiden Pemasaran Produk Seluruh Dunia Apple, Bob Borchers berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan dua aplikasi berkenaan bagi akses platform iPad.

  "Kami teruja untuk memperkenalkan Final Cut Pro dan Logic Pro untuk iPad, membolehkan pencipta menghasilkan karya kreativiti mereka dengan cara baharu dan tidak terhad untuk sesuatu tempat saja.

  ,"Dengan 'set alat' intuitif berkuasa yang direka untuk kemudahalihan, prestasi dan antara muka sesentuh pertama iPad, Final Cut Pro dan Logic Pro memberikan studio mudah alih yang terbaik," katanya.

  Kefungsian Lukisan Langsung, pengguna boleh melukis dan menulis terus di atas kandungan video menggunakan Apple Pencil.

  Menerusi iPad Pro dengan M2, kefungsian Apple Pencil 'hover' memberi keupayaan untuk pengguna memetik dan pratonton rakaman dengan cepat tanpa menyentuh skrin.

  Mereka juga boleh mempercepatkan aliran kerja mereka dengan menambahkan 'Magic Keyboard' atau 'Smart Keyboard Folio' untuk menggunakan arahan utama.

  Pencipta boleh melihat dan melakukan suntingan video HDR yang menakjubkan dan memanfaatkan daripada paparan Liquid Retina XDR pada iPad Pro 12.9 inci serta menggunakan penggredan warna dengan ketepatan mod rujukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 11:41 PM