FAHMI Fadzil ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15. FOTO Bernama
FAHMI Fadzil ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyarankan orang ramai untuk membuat semakan fakta melalui platform disediakan agensi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai sebuah unit dinamakan SEBENARNYA.MY untuk memperjelas dan memperbetulkan maklumat palsu manakala Bernama dengan platform MyCheck.My untuk mengesahkan kesahihan sesuatu maklumat yang disampaikan.

"Pihak kerajaan dari semasa ke semasa akan teliti cadangan supaya rakyat jadi bijak, cakna, lebih prihatin, lebih celik dan faham serta fasih tentang demokrasi.

"Jadi, saya sarankan Ahli Parlimen guna pakai platform SEBENARNYA.MY dan MyCheck.My untuk sahkan maklumat," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berhubung langkah kerajaan untuk membuat semak dan imbang berkenaan isu politik yang dikeluarkan pemimpin.

MyCheck.My adalah platform semakan fakta yang beroperasi secara bebas untuk membanteras maklumat palsu dalam konteks Malaysia, terutamanya berkaitan isu memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat selain tidak menyentuh kepentingan politik, individu atau mana-mana pihak.

Portal SEBENARNYA.MY pula adalah sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak sebelum berkongsi berita tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog dan laman sesawang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 2:18 PM