Muhammad Saufi Hassan


Untuk memiliki set desktop kelas prestasi yang baik serta mampu melancarkan sebarang perisian, permainan dan talaan prestasi yang baik, ia bergantung kepada pemilihan papan induk.

Untuk itu, penulis ingin mencadangkan supaya memilih papan induk keluaran MSI iaitu daripada siri MAG B650M Mortar WiFi yang didatangkan dengan soket AMD Ryzen.

Sesuai untuk trend semasa, papan induk ini boleh dipadankan dengan beberapa perkakas AMD yang lain seperti punca kuasa, kad grafik, sistem storan dan kerangka baharu.

Bagi papan induk ini, ia dilengkapi dengan sokongan jaringan 2.5G, teknologi talaan teras yang dipertingkatkan bersama-sama enam lapis PCB dengan ketebalan 2oz tembaga.

Keranga utama papan induk ini juga didatangkan dengan 'steel armor' bersama-sama sistem penyejukan untuk memberi suhu paling minimum untuk perkakas ini.

Hasil kemajuan teknologi yang dihasilkan oleh MSI, pengguna tidak lagi perlu melaksanakan talaan secara manual sebaliknya semua boleh dikawal menerusi aplikasi termasuk jika pengguna ingin mengubah kelajuan kipas dan tetapan suhu maksimum.

Perkakas ini memberi kebebasan kepada pengguna untuk melakukan talaan prestasi mengikut citarasa pengguna hanya menerusi perisian khas.

Sesuai dengan keperluan pengguna, MSI memperkenalkan 'lightning' Gen 4 PCI-E yang memberikan lebih 'bandwidth'

untuk pemuka X16 sehingga 64GB/s iaitu gandaan dua daripada generasi sebelumnya.

Menerusi MSI PCI Express Steel Armor pula, papan induk itu didatangkan dengan kerangka yang lebih kukuh serta menyokong perkakas berat khususnya bagi generasi kad grafik yang besar pada masa kini.

Penulis menguji papan induk ini khususnya untuk tujuan prestasi dan hasilnya sangat mengagumkan kerana semua talaan boleh dilaksanakan oleh perisian khusus.

Papan induk ini juga boleh menyokong modul memori (RAM) DDR5 sehingga 6,400Mhz dengan talaan prestasi sekali gus memberi kuasa yang lebih baik serta stabil.

Untuk memberikan lebih kuasa dan kestabilan pada memori, padanan RAM keluaran Kingston mampu memberikan kelajuan yang optimum untuk penggunaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 6:30 AM