Muhammad Saufi Hassan


Pengguna iPad dan MacBook kini boleh menaiktaraf sistem operasi mereka kepada iPadOS 16 serta MacOS Ventura yang dilengkapi dengan ciri khusus sesuai untuk pengalaman penggunaan yang lebih licin.

  Untuk sistem operasi MacOS Ventura, ia menawarkan tiga ciri khusus paling utama iaitu pengenalan kepada 'Stage Manager' untuk memudahkan pengguna.

  Menerusi pengenalan ciri baharu itu, Stage Manager memudahkan pengguna untuk memberi fokus kepada tugasan yang sedang dilaksanakan serta memberi pengalaman baharu untuk menukar aplikasi dengan mudah.

  Pengguna tidak lagi perlu 'minimize' atau menyimpan aplikasi di bar perisian, sebaliknya, penggunaan Stage Manager akan meletakkan aplikasi yang sedang digunakan di bahagian tepi.

  Ia sekali gus memudahkan pengguna untuk menukar antara aplikasi sesuai untuk memenuhi keperluan pengguna pada hari ini.

  Pada masa sama, MacOS Ventura juga memperkenalkan 'Continuity Camera' iaitu penggunaan iPhone sebagam Webcam kepada peranti Mac bagi tujuan memudahkan jika pengguna ingin melakukan pembentangan secara maya atau sebagainya.

  MacOS Ventura juga turut memperkenalkan penjadualan penghantaran emel kepada penerima iaitu pengguna boleh menjadualkan emel yang ingin dihantar pada waktu yang diinginkan.

  Selain itu, menerusi kemaskini iPadOS 16 pula turut memberikan ciri baharu antaranya adalah perkongsian album di iCloud, Freeform termasuk Stage Manager dan Reference Mode.

  Pengguna juga boleh menghasilkan kandungan kreatif dengan memanfaatkan ciri Freeform yang menyokong penuh kefungsian Apple Pencil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 1:50 PM