APPLE Watch Series 8 menampilkan beberapa kefungsian baharu termasuk 'Crash Detection' yang akan menghubungi pusat kecemasan secara automatik jika pengguna tidak respons notifikasi awal.
APPLE Watch Series 8 menampilkan beberapa kefungsian baharu termasuk 'Crash Detection' yang akan menghubungi pusat kecemasan secara automatik jika pengguna tidak respons notifikasi awal.
Muhammad Saufi Hassan


PENAMBAHBAIKAN yang berterusan. Itu yang boleh diperkatakan tentang peranti boleh pakai keluaran Apple iaitu Apple Watch Series 8.

Peranti itu didatangkan dengan kepelbagaian tambahbaik termasuk sensor baharu untuk kegunaan pengguna pada hari ini.

Mungkin bagi sesetengah individu menyatakan bahawa penambahbaikan itu tidak banyak, namun bagi penulis, biar ia tidak banyak tetapi konsisten berbanding inovasi baru namun menyusahkan pengguna.

Apa yang penting adalah keupayaan peranti itu untuk kekal berfungsi tanpa 'downtime' serta pembaharuan yang konsisten setiap siri keluaran.

Menerusi pandang pertama bagi Apple Watch Series 8 ini jelas memperlihatkan rekaan skrin pemuka yang luas sekali gus memberi kemudahan kepada pengguna.

Kali ini, Apple memperkenalkan beberapa pembaharuan daripada sudut kefungsian termasuk pengenalan kepada penjejakan kemalangan atau 'crash detection' sehingga kepada keupayaan untuk menjejak langkah serta kompas.

Antara sensor yang paling relevan bagi penulis adalah penderian suhu, ciri lanjutan kesihatan, penjejakan kemalangan dan aplikasi riadah yang dipertingkatkan keupayaannya.

Secara asasnya, penulis boleh katakan bahawa Apple Watch Series 8 ini banyak memberi penekanan terhadap kesihatan pengguna sekali gus bertepatan dengan slogannya iaitu 'A health leap ahead'.

Ia memang satu senario yang tepat apabila pengguna hari ini banyak memberi penekanan kesihatan peribadi bermula daripada riadah sehingga kepada penjejakan jangka waktu tidur dan peringatan pengambilan ubat jika pengguna perlu mengambil ubat-ubatan secara rutin.

MENERUSI perkakas baharu ini, ia mementingkan aspek kesihatan dan kehidupan aktif pengguna sekali gus mengekalkan ketahanan bateri pada tahap optimum.
MENERUSI perkakas baharu ini, ia mementingkan aspek kesihatan dan kehidupan aktif pengguna sekali gus mengekalkan ketahanan bateri pada tahap optimum.

Bagi pandang pertama ini, penulis tidak mahu lagi menyentuh soal sensor baharu yang didatangkan kerana penulis masih belum mencuba secara keseluruhan kefungsian yang ditawarkan untuk variasi baru ini.

Menyentuh aspek spesifikasi fizikal, Apple Watch Series 8 ini didatangkan dengan dua saiz pemuka iaitu 41 milimeter (mm) dan 45mm bersama dua variasi iaitu variasi Sistem Kedudukan Global (GPS) dan GPS bersama selular.

Pengguna juga boleh memilih enam pilihan warna yang dirasakan padan atau mencipta gaya warna sendiri menerusi laman web Apple dan melakukan pesanan selepas itu.

Setiap pembelian peranti baharu itu, pengguna akan menerima pemuka bersama 'wrist band' termasuk pengecas dengan keupayaan sambungan USB-C.

Untuk pemerhatian awal ini, penulis berpuas hati dengan ketahanan bateri iaitu mampu untuk bertahan sekitar 24 jam dengan penggunaan maksimum iaitu menyambungkan jam dengan selular, menikmati lagu, pengaktifan kompas dan penjejakan langkah.

Bagi semua mod yang dihidupkan, ia mampu bertahan seharian sebelum pengguna perlu mengecas untuk penggunaan lanjutan.

Secara keseluruhannya, penulis berpuas hati dengan kefungsian, sensor baharu yang diperkenalkan dan ketahanan bateri.

Ia melengkapi kehidupan penulis malah memudahkan urusan selain mengekalkan gaya tidak mengira masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 6:05 AM