PERMINTAAN laptop, desktop, notebook dilaporkan wujud pengurangan khususnya untuk kegunaan konsumer atau industri.
PERMINTAAN laptop, desktop, notebook dilaporkan wujud pengurangan khususnya untuk kegunaan konsumer atau industri.
Muhammad Saufi Hassan

Dunia hari ini banyak berkisarkan mengenai produktiviti serta mobiliti, sekali gus memerlukan pengguna untuk memiliki peranti atau perkakas yang boleh dibawa ke mana saja untuk tujuan memenuhi rutin harian sama ada tugasan mahupun keperluan lain seperti memenuhi masa lapang dan sebagainya.

Melihat kepada satu faktor, perkakas seperti peranti pintar sudah mampu untuk menggantikan sebahagian daripada tugas laptop, namun masih wujud jurang yang hanya didominasi oleh laptop atau desktop dan sesetengah tugasan masih memerlukan perkakas berkenaan.

Kajian terbaharu daripada Firma Kajian Antarabangsa, IDC menunjukkan bahawa kadar pasaran untuk perkakas tradisional di negara ini seperti notebook dan stesen kerja atau 'workstations' menurun 9.6 peratus tahun demi tahun (YoY) pada suku kedua tahun ini.

Suku kedua tahun ini merangkumi April hingga Jun dengan jumlah unit dipasarkan sebanyak 455,000 di negara ini dan itu antara data dalam laporan 'Penjejak peranti pengkomputeran peribadi suku tahunan di seluruh dunia.'

Sejak negara memasuki era endemik serta pengurangan penguatkuasaan terhadap larangan sektor ekonomi, kebanyakan syarikat atau pemain utama industri sudah mula kembali kepada rutin asal iaitu pekerja yang bekerja di pejabat, namun masih wujud juga yang mengadaptasi sistem hibrid serta bekerja daripada rumah mengikut skop serta bidang kerja yang sesuai.

KEMEROSOTAN penjualan komputer atau laptop berpunca daripada penarikan balik sekatan apabila Malaysia  memasuki fasa endemik.
KEMEROSOTAN penjualan komputer atau laptop berpunca daripada penarikan balik sekatan apabila Malaysia memasuki fasa endemik.

Ia sekali gus memberi kesan besar kepada penjualan komputer atau laptop apabila dilaporkan wujud pengurangan permintaan daripada pembeli khususnya untuk segmen kegunaan konsumer atau industri.

Penghantaran untuk peranti jenis notebook juga merosot kepada 15.5 peratus YoY, manakala untuk desktop mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.6 peratus.

Perbelanjaan dalam pasaran pengguna beralih daripada peranti apabila sekatan ditarik balik, memberi peluang kepada orang ramai untuk melancong, meraikan majlis perayaan dan membabitkan diri dalam aktiviti rekreasi lain.

Permintaan untuk laptop dan desktop juga menurun berbanding tahun sebelumnya kerana pasaran kembali normal dan kebanyakan pembelian untuk peranti sedemikian sudah dipenuhi pada suku sebelumnya.

Penganalisis Pasaran IDC Malaysia, Peterson Lo berkata, walaupun keadaan bekalan yang bertambah baik dalam pasaran, vendor PC lebih prihatin terhadap kesukaran yang semakin meningkat untuk menjual peranti kerana permintaan terus lemah.

"Inventori merentas saluran mula terkumpul menyebabkan vendor mengambil lebih sedikit stok pada suku ini," katanya.

BIARPUN segmen desktop mencatatkan pertumbuhan, namun ia tidak dapat mengimbangi pasaran yang semakin lemah.
BIARPUN segmen desktop mencatatkan pertumbuhan, namun ia tidak dapat mengimbangi pasaran yang semakin lemah.

Sejak sekatan penutupan ditarik balik pada suku ketiga tahun lalu, jualan 'notebook' mula merosot, terutama dalam pasaran komersial kerana tenaga kerja dibenarkan bekerja di pejabat.

Permintaan untuk desktop meningkat dari semasa ke semasa dan pada mulanya didorong oleh pembelian daripada sektor awam.

Segmen perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan juga mengalami peningkatan permintaan untuk desktop apabila lebih banyak syarikat kembali ke pejabat.

Tetapi, keseluruhan pasaran komersil masih mencatatkan penurunan 13.3 peratus YoY, malah penempatan pendidikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini yang dilaksanakan pada suku berkenaan tidak dapat mengimbangi penurunan itu.

Keadaan itu memperlihatkan bahawa situasi semasa pasaran yang semakin normal apabila kebanyakan segmen pekerjaan kembali menggunapakai sistem bekerja di pejabat berbanding sistem hibrid.

Pertumbuhan permintaan untuk segmen desktop juga tidak dapat mengimbangan penurunan pasaran secara menyeluruh dan mengakibatkan segmen itu juga terkesan dengan permintaan yang semakin melemah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:14 AM