Muhammad Saufi Hassan


Kurang 24 jam lagi, Apple bakal mengadakan majlis rutinnya yang dipercayai memperkenalkan peranti pintar paling ikonik iaitu siri iPhone 14.

  Pengenalan itu dijangka akan dibuat dalam majlis bertemakan 'Far Out' dan pengguna boleh mengikuti penstriman menerusi platform rasmi syarikat berkenaan pada jam 1 pagi nanti.

  Syarikat teknologi prolifik berkenaan dijangka akan memperkenalkan empat variasi iPhone 14 tanpa siri 'Mini' yang diganti kepada dua jenis iPhone versi Pro manakala dua lagi versi biasa.

  Cuma yang membezakan adalah saiz peranti untuk kedua-dua variasi utama berkenaan dan dijangka pengenalan cip pemproses baharu untuk versi pro.

  Pada masa sama, Apple juga dijangka akan memperkenalkan beberapa perkakas lain antaranya Apple Watch yang memberi penekanan kepada spesifikasi dan keupayaan penggunaan lebih baik.

  Berdasarkan khabar angin, iPhone 14 versi Pro akan menggunakan rekaan paparan baharu sekali gus menamatkan legasi 'top notch' dan kali ini menggunakan skrin lelubang.

  Panel paparan pula akan menggunakan OLED manakala keupayaan kamera akan dipertingkatkan berbanding variasi terdahulu iaitu iPhone 13.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 3:30 PM