PUSAT kawalan Siber Bersepadu Celcom Axiata. FOTO Hazreen Mohamad
PUSAT kawalan Siber Bersepadu Celcom Axiata. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Axiata Group Berhad (Axiata) bersama anak syarikatnya, Celcom Axiata Berhad (Celcom) memperuntukkan RM65 juta sebagai komitmen mereka ke arah memperkukuhkan keupayaan keselamatan siber di negara ini.

Pelaburan bagi tempoh empat tahun itu turut membabitkan penubuhan Pusat Siber Bersepadu Axiata (ACFC) yang merangkumi pemantauan ancaman digital, melindungi data digital perusahaan dan menawarkan keselamatan siber.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datuk Idham Nawawi berkata, syarikat kini bersedia untuk menjadi pemacu digital negara.

Beliau berkata, Celcom akan menjadi antara pengguna utama bagi kemudahan terkini itu dalam memenuhi keperluan organisasi untuk bahagian pengurusan risiko, tadbir urus dan pematuhan, strategi, keselamatan IT serta telekomunikasi.

"ACFC yang beroperasi di Ibu Pejabat Celcom akan memantau segala bentuk ancaman moden dan melindungi aset perniagaan, menawarkan keselamatan siber yang komprehensif selain kesinambungan perniagaan yang terdiri daripada keupayaan dari segi perlindungan, pengesanan serta responsif.

"ACFC akan menjadi platform bagi memangkin perkongsian dan kerjasama pihak awam serta swasta supaya dapat meningkatkan siber yang berdaya tahan untuk ekosistem negara," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran ACFC dan Pameran Business Tech Week di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Idham berkata, ACFC juga akan berfungsi sebagai tempat inkubasi untuk mengembang dan membangunkan pakar siber Malaysia.

Beliau berkata, pusat berkenaan dilengkapi keupayaan tahanan aktif dan serangan yang membolehkan tindakan lebih proaktif serta pencegahan untuk mengukuhkan tindak balas keselamatan siber.

Tambah beliau, ia menawarkan perlindungan lebih daripada 20 ancaman siber setiap hari dan sehingga 630 insiden sebulan berdasarkan pemantauan siber berterusan.

"Setakat ini, pelanggan bagi perkhidmatan ACFC yang merentasi enam negara sudah memantau lebih 10,000 sumber log yang merangkumi aset IT dan rangkaian telekomunikasi.

"Bersama rakan kongsi bertaraf dunia, kami akan terus membantu pemilik perniagaan, organisasi dan agensi awam dengan gabungan keupayaan bidang kepakaran masing-masing, penyelesaian inovatif serta infrastruktur rangkaian teras yang kukuh," katanya.

Katanya, Celcom sudah menjalin kerjasama dengan 39 rakan kongsi teknologi termasuk 24 organisasi tempatan dan sedang giat berusaha ke arah kemajuan negara serta pengembangan ekosistem bagi penyelesaian perkhidmatan teknologi termasuk 5G.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 4:14 PM