GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan bekerjasama dengan Microsoft dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur dan program pembangunan modal insan bagi memperkasa belia Orang Asli di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, perbincangan mengenai perkara itu diadakan ketika pertemuan dengan Microsoft semasa lawatan kerjanya ke Washington, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagai permulaan kepada inisiatif itu, HRD Corp akan melaksanakan satu projek perintis untuk belia Orang Asli di Tapah, Perak, yang dijangka memberi manfaat kepada 100 keluarga sebelum ia diperluaskan kepada seluruh masyarakat itu.

"Kerjasama ini akan menggabungkan kekuatan kedua-dua organisasi dalam memperkasakan belia Orang Asli menerusi penggunaan teknologi yang akan meningkatkan kemahiran serta keupayaan berfikir," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Saravanan berkata, sasaran utama program tersebut adalah untuk menggalakkan belia, khususnya komuniti Orang Asli, menambah baik diri mereka secara proaktif, seterusnya membuka peluang kepada mereka menempatkan diri dalam dunia pekerjaan serta keusahawanan.

Beliau optimis kerjasama itu akan memberi manfaat kepada komuniti Orang Asli menerusi program berimpak tinggi membabitkan segmen teknologi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 4:26 PM