HUAWEI perkenalkan siri P50 Pro dengan keupayaan padanan spesifikasi terkini.
HUAWEI perkenalkan siri P50 Pro dengan keupayaan padanan spesifikasi terkini.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PRESTASI kamera seringkali menjadi titik penentuan dalam keupayaan sesebuah peranti pintar sama ada ia berada pada tahap kelas permulaan, pertengahan serta kelas mercu di samping beberapa komponen lain.

Kefungsian serta hasil rakaman imej itu juga menjadi 'keputusan akhir' atau 'tie-breaker' kepada pengguna untuk membeli sesebuah peranti memandangkan generasi hari ini sangat berkait rapat dengan media sosial, kandungan dan rakaman video.

Syarikat teknologi terkemuka, Huawei kini kembali mempertaruhkan peranti baharu mereka iaitu daripada siri 'P' yang khususnya menampilkan keupayaan 'Photography' terbaik dalam kelasnya.

Untuk itu, Huawei bakal memperkenalkan siri P50 Pro pada esok (Rabu) yang menampilkan tetapan kamera matrik berkembar secara membulat serta dilengkapi dengan keupayaan padanan spesifikasi terkini.

Bagi pengguna yang kurang sinonim dengan kod nama 'P' ini, Huawei menampilkan telefon pintar daripada siri ini yang berupaya untuk prestasi kamera pada tahap terbaik untuk semua keadaan terutamanya dalam kurang pencahayaan.

Penulis berpeluang menguji peranti ini sebelum ia dilancarkan dan langkah Huawei untuk menggunakan rekaan 'Matrik Berkembar' atau 'Dual-Matrix' ini sangat bertepatan malah ia kelihatan sangat elegan sesuai dengan kelas mercu siri ini.

Gambar malam atau suasana kurang pencahayaan sangat menakjubkan apabila ia mampu untuk merakan imej dengan begitu jelas tanpa ada sebarang gangguan atau 'noise' pada gambar berkenaan.

Untuk makluman umum, peranti Huawei P50 Pro ini menggunakan tetapan empat lesan iaitu 50 megapiksel (MP) kamera 'True Chroma' dengan sensor F/1.8 bersama-sama padanan 40MP True Chroma dengan sensor Mono F/1.6.

Dua lagi lensa adalah 13MP untuk sudut ultra lebar dengan 64MP lensa telefoto bersama sensoir F/3.5 bersama-sama dengan teknologi OIS.

PERMUKAAN lengkung di bahagian kiri dan kanan memberi keselesaan kepada pengguna.
PERMUKAAN lengkung di bahagian kiri dan kanan memberi keselesaan kepada pengguna.

Hasil gabungan lensa berkenaan, ia berkeupayaan untuk pembesaran digital, pembesaran optikal dan pembesaran hibrid mengikut tetapan pengguna.

Keupayaan pemproses Qualcomm Snapdragon 888 ini bersama padanan memori (RAM) 8GB bukan saja memberi kelicinan dalam segenap pelancaran aplikasi malah ia memberi kesan positif dalam prestasi kamera secara tidak langsung.

Rekaan lengkuangan di kiri dan kanan juga memberi keselesaan kepada pengguna untuk menaip, memegang malah itu adalah ciri utama peranti ini berada pada tahap yang tersendiri.

Selain prestasi kamera dan kelicinan pelancaran aplikasi, Huawei P50 Pro juga sangat cemerlang untuk mod permainan apabila peranti ini dikuasakan dengan Unit Pemproses Grafik (GPU) Adreno 660.

Di samping itu, skrin paparan Huawei P50 Pro yang didatangkan dengan teknologi OLED bersama kadar segar semula sehingga 120Hz, 1440Hz untuk PWM frekuensi tinggi bersama 300Hz sesentuh kadar 'sampling'.

Secara keseluruhannya, Huawei P50 Pro bukan saja peranti pintar untuk kategori fotografi saja malah sesuai dengan kelas mercu, ia mampu melaksanakan sebarang tugasan tanpa sebarang masalah.

Prestasi kamera pula adalah yang terbaik dalam kelasnya di samping keupayaan rakaman video 4K dan taruhan kamera Matrik Berkembar ini sememangnya sesuatu yang luar biasa.

HUAWEI mempertaruhkan rekaan kamera Matrik Berkembar bersama tetapan empat lensa untuk penghasilan gambar lebih baik.
HUAWEI mempertaruhkan rekaan kamera Matrik Berkembar bersama tetapan empat lensa untuk penghasilan gambar lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:20 AM