PERKHIDMATAN Fitness+ memberikan pengalaman baharu kepada pengguna.
PERKHIDMATAN Fitness+ memberikan pengalaman baharu kepada pengguna.
Muhammad Saufi Hassan

SUDAH menjadi trend pengguna hari ini yang cenderung memilih peranti boleh pakai pintar kerana ia bukan saja mampu menjadi 'pembantu peribadi' maya sebaliknya jurulatih kecergasan.

Bayangkan jika keupayaan itu dipertingkatkan lagi dengan kefungsian sokongan lain seperti video riadah, demonstrasi latihan bersama jurulatih berpengalaman dan kefungsian interaktif lain pastinya memberi pengalaman baharu buat pengguna.

Untuk itu, Apple sekali lagi menawarkan kefungsian paling interaktif untuk pencinta kehidupan sihat apabila syarikat itu memperkenalkan perkhidmatan Fitness+ yang menawarkan kepelbagaian fungsi interaktif.

Secara ringkasnya, ia umpama pengguna perkhidmatan Fitness+ ini melaksanakan aktiviti riadah mereka bersama orang lain secara maya, sekali gus memberi dorongan serta aura positif untuk mereka meneruskan aktiviti sihat secara rutin.

Bagi pengguna Apple Watch, kefungsian Fitness+ ini pastinya satu perkhidmatan 'mesti langgan' kerana ia turut dilengkapi pelbagai pemuka interaktif khusus untuk pengguna.

Perkhidmatan sama sudah dilancarkan di beberapa negara lain antaranya Australia, Kanada, Ireland, New Zealand dan Amerika Syarikat (US) bermula 4 November lalu dan kini ada 15 negara menawarkan perkhidmatan sama.

Ia turut dilengkapi pelbagai mod riadah termasuk latihan intensiti tinggi (HIIT), yoga, tarian, berbasikal sehingga kepada meditasi penyejukan badan dengan mendengar muzik yang mengasyikkan.

Mungkin bagi pengguna di luar sana yang mempunyai jam pintar, Apple Watch, namun kurang memanfaatkan kefungsian riadah, menerusi Fitness+ ini pengguna akan terdorong untuk melaksanakan latihan kecergasan secara rutin.

Ciri interaktif terutama video senaman bersama jurulatih ternama membawa dimensi baharu kepada pengguna dan perkhidmatan Fitness+ ini adalah pelopornya.

APPLE tawar perkhidmatan terbaharu iaitu Fitness+ yang dilengkapi pelbagai ciri interaktif khusus buat pengguna.
APPLE tawar perkhidmatan terbaharu iaitu Fitness+ yang dilengkapi pelbagai ciri interaktif khusus buat pengguna.

Perkhidmatan berkenaan tidak hanya untuk pengguna yang mengutamakan mod riadah bersifat kompleks, malah untuk semua golongan.

Menerusi Fitness+, bagi mod 'brisk walking', pengguna diberi pilihan untuk mendengar klip audio positif daripada figura yang dikenali untuk berkongsi kisah serta pengalaman mereka.

Bentuk perkhidmatan interaktif berkenaan pastinya akan mengubah landskap kepenggunaan secara keseluruhannya dan Apple bijak memanfaatkan situasi semasa untuk memberi pengalaman baharu kepada pengguna.

Buktinya, Fitness+ ini bakal menjadi pelopor kepada ruang riadah lebih interaktif bersama-sama penawaran pengalaman yang berbeza kepada pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 6:20 AM