Muhammad Saufi Hassan


Apple memperkenalkan barisan cip pemproses baharu iaitu Apple M1 Pro dan Max sekaligus kuasa prestasinya melangkaui cip terdahulu iaitu M1.

  Menerusi majlis pengenalan khas menggunakan tema 'Unleashed' awal pagi tadi, Apple menyatakan bahawa cip baharu itu akan memberi kuasa prestasi signifikan kepada pengguna.

  Cip Apple M1 Pro dan Max berkenaan masih menggunakan seni bina ARM dengan pemproses 5nm.

  Cip M1 Pro didatangkan dengan kuasa 10 teras merangkumi lapan teras prestasi dan dua teras kecekapan bersama padanan 16 teras Unit Pemproses Grafik (GPU).

  Ia juga menyokong memori (RAM) sehingga 32GB dengan kelajuan 200GB/s.

  Bagi M1 Max pula, ia adalah kuasa prestasi dua kali ganda berbanding Apple M1 Pro dengan sokongan RAM sehingga 64GB serta kelajuan 400GB/s.

  Susulan pengenalan cip itu, Apple turut mengumumkan generasi baharu MacBook Pro yang dikuasakan dengan M1 Pro dan M1 Max yang direka khusus untuk Mac.

  Peranti MacBook berkenaan ditawarkan dalam dua variasi iaitu saiz skrin 14 inci serta 16 inci yang didatangkan dengan pelbagai teknologi terkini seperti keupayaan Pembelajaran Mesin (Machine Learning) termasuk prestasi bateri yang mengagumkan.

  Generasi baharu MacBook Pro ini turut menggunakan skrin 'Liquid Retina XDR' bersama-sama kamera FaceTime 1080p dengan sokongan sambungan terbaik di dalam kelasnya.

  Sistem operasi macOS Monterey yang direka khusus untuk prestasi terbaik untuk cip baharu itu membolehkan pengguna merasai pengalaman kepenggunaan tahap optimum.

  Sesuai dengan jolokan nama 'Pro' itu, MacBook ini sememangnya direka untuk penugasan kompleks seperti pembangun perisian, jurugambar profesional, pembikin filem dan pembuatan animasi terkini tanpa sebarang masalah.

  MacBook Pro dengan keupayaan M1 Pro serta M1 Max ini menggunakan binaan 'Sistem Di Atas Cip' (SoC) yang memberikan prestasi memori lebih baik daripada generasi sebelumnya.

  Pengguna boleh melakukan tempahan untuk MacBook Pro model M1 Pro dan M1 Max menerusi apple.com/my/store dan penjual rasmi barangan Apple.

  Untuk model MacBook Pro 14 inci, tanda harga bermula RM8,799 manakala untuk 16 inci, harga bermula RM10,799.

  Pada masa sama, sistem operasi macOS iaitu Monterey akan boleh dikemaskini bermula Isnin depan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 12:36 PM