INDUSTRI permainan bakal jadi segmen  penting dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
INDUSTRI permainan bakal jadi segmen penting dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
Muhammad Saufi Hassan


MUNGKIN lebih beberapa dekad lalu, tiada siapa menjangkakan bahawa industri permainan atau 'gaming industry' ini akan memberikan pulangan lumayan dan industri ini dilihat terus berkembang saban tahun.

Berdasarkan perangkaan semasa juga memperlihatkan bahawa industri permainan bakal menjadi segmen penting di dalam ekonomi malah mampu menjadi penyumbang besar bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Rekod tahun lalu juga memperlihatkan bahawa 'gamers' tempatan berbelanja sekitar RM2.7 bilion untuk pembelian judul permainan serta beberapa kandungan berbayar termasuk 'gems' yang ditawarkan dalam sistem perdagangan maya.

Jumlah besar itu dilihat meningkat berbanding 2019 apabila dilaporkan pembelian untuk segmen sama direkodkan sekitar RM2.5 bilion dan peningkatan itu berkait rapat dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini sejak tahun lalu.

Ia menjadikan negara sebagai salah satu 'lubuk keuntungan' pembangunan permainan untuk rantau Asia Tenggara dan kebanyakan pembelian dibuat menerusi tawaran kosmetik sesebuah judul permainan.

Pembelian berkenaan termasuk judul baharu permainan, pembelian kosmetik seperti 'power up' serta karektor unik malah pelbagai jenis pembelian di dalam permainan.

Malah, wujud 'gamers' tegar yang sanggup berbelanja ribuan ringgit sebulan semata-mata untuk membeli 'keperluan permainan' mereka.

Jika melihat kepada skop potensi ekonomi yang lebih besar, industri permainan menjana keuntungan sekitar RM770 bilion dan angka itu akan terus meningkat setiap tahun.

Laporan daripada Newzoo menyatakan bahawa rekod keuntungan untuk industri permainan itu akan mencecah lebih RM800 bilion pada 2023 dan lebih separuh daripada industri berkenaan disumbangkan oleh segmen permainan mudah alih atau 'mobile gaming'.

SEGMEN permainan mudah alih antara penyumbang besar dalam industri permainan pada hari ini.
SEGMEN permainan mudah alih antara penyumbang besar dalam industri permainan pada hari ini.

Menerusi segmen permainan mudah alih itu, beberapa judul yang sering mendapat perhatian adalah PUBG Mobile, Mobile Legends dan beberapa judul lain merekodkan pembelian di dalam permainan paling tinggi berbanding segmen permainan konvensional yang menggunakan desktop atau laptop.

Pada tahun lalu, permainan mudah alih merekodkan keuntungan RM338 bilion iaitu 12 peratus peningkatan dengan jumlah pengguna lebih 2 bilion.

Perangkaan itu juga tidak menunjukkan tanda untuk perlahan atau menurun sebaliknya ia akan terus menjadi segmen ekonomi paling menguntungkan pada masa depan.

Pertumbuhan besar dalam industri permainan itu juga mewujudkan pelbagai segmen pekerjaan lain antaranya kerjaya baharu penstriman permainan atau 'streamer' yang mampu meraih pendapatan lima angka jika memenuhi kuota dan syarat tertentu.

Masa depan industri permainan juga sangat cerah pada masa depan sekali gus industri berkenaan memerlukan lebih ramai tenaga pakar daripada aspek pembangunan permainan, pereka animasi dan beberapa segmen pekerjaan lain.

INDUSTRI permainan bakal menjadi segmen penting dalam ekonomi dalam masa beberapa tahun akan datang selepas memperlihatkan rekod pembelian serta keuntungan bernilai bilion ringgit.
INDUSTRI permainan bakal menjadi segmen penting dalam ekonomi dalam masa beberapa tahun akan datang selepas memperlihatkan rekod pembelian serta keuntungan bernilai bilion ringgit.

Jika dilihat pada era 1990-an, industri permainan tidak begitu menyumbang jumlah yang besar berikutan masalah sambungan Internet yang terhad dan ketika itu, masalah utama adalah cetak rompak.

Hasil daripada kemajuan teknologi komunikasi, kebanyakan pemain lebih tertumpu kepada kandungan permainan atas talian atau 'multiplayer' dan pastinya, judul permainan cetak rompak tidak berupaya untuk menyediakan kandungan berkenaan.

Hasilnya, pemain perlu membeli setiap judul permainan dan keadaan itu banyak memberi faktor positif kepada perkembangan dunia permainan secara keseluruhan.

Industri permainan pada hari ini juga tidak hanya tertumpu kepada judul permainan yang ringkas sebaliknya penuh dengan naratif kompleks sehingga membawa kepada emosi pemain jika dihayati beberapa judul baharu yang berada di pasaran.

Malaysia tidak terkecuali dalam pertumbuhan industri permainan ini dan diharapkan agensi bertanggungjawab dapat menyediakan infrastruktur untuk pembangun permainan tempatan sekali gus menghasilkan naskhah permainan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 7:00 AM