IPAD
IPAD
Muhammad Saufi Hassan

Barisan generasi baharu untuk produk Apple iPad generasi kesembilan diperkenalkan dengan menggunakan cip berkuasa Apple A13 Bionic.

Penggunaan cip pemproses Apple A13 Bionic berkenaan juga menjadikan peranti berkenaan sebagai tablet paling berkuasa serta mampu untuk melaksanakan kepelbagaian tugas.

Peranti ini menggunakan saiz berukuran 10.2 inci dengan paparan Retina bersama-sama teknologi True Tone.

Selain itu, iPad generasi ini juga didatangkan dengan kamera ultra lebar di bahagian depan bersama sensor 12MP serta teknologi Centre Stage.

Berdasarkan ujian prestasi, generasi baharu iPad ini mencatatkan prestasi keupayaan tiga kali ganda berbanding Chromebook dan enam kali ganda lebih laju jika dibandingkan dengan tablet Android.

Apple juga memperkenalkan iPad Mini dengan tetapan skrin 8.3 inci Liquid Retina bersama-sama cip Apple A15 Bionic.

IPAD Mini
IPAD Mini

Peranti berkenaan menerima keupayaan prestasi yang besar hasil daripada cip berkenaan dan direkodkan 40 peratus lebih berkuasa termasuk penggunaan 'Advanced Machine Learning'.

Peranti itu juga didatangkan dengan keupayaan sambungan 5G sekali gus membolehkan iPad Mini mencapai kelajuan Internet tanpa wayar sehingga 3.5Gbps.

Apple menerusi iPad Mini berkenaan didatangkan dengan port USB C dan membolehkan sambungan dalam ekosistem luas untuk aksesori menggunakan sambungan berkenaan.

Untuk iPad Mini berkenaan, versi WiFi ditawarkan pada harga RM2,299 manakala untuk versi selular bermula RM2,949.

Generasi iPad Mini baharu berkenaan ditawarkan untuk konfigurasi storan pada 64GB serta 256GB dengan pilihan warna pink, starlight, purple dan space grey.

Untuk iPad Generasi Sembilan pula, model WiFi ditawarkan bermula pada harga RM1,499 manakala untuk WiFi serta selular bermula RM2,119.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 7:24 AM