Muhammad Saufi Hassan

 

Syarikat pengeluar peranti pintar terkemuka, Xiaomi hari ini melancarkan beberapa peranti baharu mereka termasuk telefon pintar kelas perdana baharu bersama-sama dua tablet.

  Sempena majlis pengenalan berkenaan, Xiaomi memperkenalkan Mi MIX 4 yang menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragon 888+ iaitu cip kelas perdana yang digunakan untuk peranti kelas perdana.

  Menyentuh aspek spesifikasinya, peranti berkenaan menggunakan saiz skrin 6.67 inci dengan teknologi paparan AMOLED Definisi Penuh Dipertingkatkan (FHD+).

  Sesuai dengan trend semasa, peranti itu dilengkapi dengan skrin kadar segar semula 120Hz sesuai untuk semua jenis penugasan terutamanya permainan mudah alih.

  Paling menarik, Mi MIX 4 ini dilengkapi dengan sistem kamera bawah skrin dengan sensor 20 megapiksel (MP).

  Peranti pintar ini didatangkan dengan memori (RAM) 12GB bersama-sama storan 512GB dan peranti berkenaan menyokong pengecas pantas berkapasiti 120W.

  Xiaomi Mi MIX 4 ini juga turut menyokong pengecas tanpa wayar pantas 50W.

  Bagi tetapan kamera pula, sensor utama peranti ini adalah 108MP dipadankan dengan sensor telefoto 8MP bersama-sama sudut ultra lebar 13MP.

  Peranti ini mampu untuk merakam video resolusi 4K dengan bacaan 30 bingkai sesaat tanpa sebarang masalah.

  Pada masa sama, Xiaomi turut melancarkan dua tablet baharu mereka iaitu Xiaomi Mi Pad 5 dan Mi Pad 5 Pro yang turut menggunakan cip pemproses sama.

  Model kelas tinggi untuk tablet berkenaan adalah Xiaomi Mi Pad 5 Pro didatangkan dengan skrin 11 inci bersama paparan QHD 120Hz.

  Tablet kelas perdana ini turut menyokong sambungan telekomunikasi 5G serta ia lengkap dengan imbasan wajah serta pengimbas cap jari untuk tahap keselamatan dipertingkatkan.

  Anggaran tanda harga menerusi nilai tukaran terus bagi Mi MIX 4 adalah bermula RM3,260 berdasarkan variasi manakala untuk Mi Pad 5 Pro adalah RM1,629.

  Bagaimanapun, Xiaomi belum mengumumkan sama ada peranti sama akan dilancarkan untuk pasaran negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 10:48 PM