MELESTARIKAN penggunaan tenaga adalah salah satu cara untuk mengurangkan risiko pemanasan global.
MELESTARIKAN penggunaan tenaga adalah salah satu cara untuk mengurangkan risiko pemanasan global.
Muhammad Saufi Hassan


KRISIS pemanasan global bukan lagi isu baharu malah sudah menjadi satu topik yang sering dibincangkan di peringkat antarabangsa malah menerusi meja bulat antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Keupayaan teknologi pada masa kini sebenarnya mampu untuk mengekang krisis pemanasan global ini memasuki fasa yang lebih kritikal beberapa dekad akan datang dengan menggunakan pakai sistem atau perkakas yang lebih lestari.

Prihatin terhadap isu ini, satu program dikenali 'Climate Hack 2021' dianjurkan oleh Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) serta Code For Asia (CFA).

Ia adalah platform 'hackathon' maya yang memanfaatkan teknologi dan rangkaian antarabangsa untuk berinovasi bagi mendepani krisis perubahan iklim semasa.

Susulan itu, SIF serta CFA menerima 46 prototaip digital daripada pasukan seluruh Asua untuk mencipta penyelesaian bagi menangani krisis iklim berkenaan.

Sembilan pasukan daripada lima negara berjaya ke peringkat akhir untuk 'demonstrasi' hasil daripada prototaip mereka dan dua pasukan dari Malaysia berjaya menduduki tempat teratas bersama-sama dua lagi pasukan daripada Indonesia.

SUMBER tenaga daripada pembakaran api fosil meningkatkan risiko masalah perubahan iklim sejagat dan memerlukan satu inisiatif baharu seperti penggunaan panel solar.
SUMBER tenaga daripada pembakaran api fosil meningkatkan risiko masalah perubahan iklim sejagat dan memerlukan satu inisiatif baharu seperti penggunaan panel solar.

Pasukan yang menduduki tempat pertama adalah 'Not Samsan Tech' daripada Indonesia diikuti MarhaEnergy Team dari Malaysia, tempat ketiga pula WasteBuster (Malaysia).

MarhaEnergy Team mempersembahan cadangan idea untuk sebuah platform penyatuan sumber tenaga solar komuniti manakala WasteBuster pula memperkenalkan aplikasi mudah alih dikenali 'Raccoonia' untuk membantu pengguna mengitar semula serta menguruskan bahan buangan melalui perkongsian sumber.

Bagi pasukan MarhaEnergy yang terdiri daripada lima individu pelbagai latar belakang melihat bahawa pemasangan solar adalah bentuk teknologi yang lebih lestari namun mempunyai kos pemasangan yang tinggi.

Jurucakap pasukan MarhaEnergy Team Reza Abedi berkata, kos pemasangan panel solar yang tinggi menghalang banyak orang untuk memasang sumber tenaga berkenaan di rumah kediaman mereka walaupun menawarkan faedah besar untuk alam sekitar serta ekonomi.

Menurutnya, pasukannya itu menawarkan platform untuk membolehkan pengguna mengumpulkan sumber dan modal kewangan untuk memasang panel solar di kawasan kejiranan bersama-sama.

MARHAENERGY Team dari Malaysia berjaya menduduki tempat kedua dalam 'Climate Hack 2021' yang menampilkan prototaip penyatuan sumber tenaga untuk komuniti
MARHAENERGY Team dari Malaysia berjaya menduduki tempat kedua dalam 'Climate Hack 2021' yang menampilkan prototaip penyatuan sumber tenaga untuk komuniti

"Ia umpama kita menyatukan satu platform atau sumber dalam kalangan komuniti untuk kerja-kerja pemasangan serta menyelenggaraan panel berkenaan bagi mengurangkan kos bebanan setiap orang.

"Kaedah itu juga dapat menghubungkan. mereka dengan proses pemasangan dan penyelenggaraan panel solar dengan memanfaatkan penyatuan platform.

"Penjanaan elektrik secara lebih lestari ini mampu untuk menyekat atau mengurangkan kesan perubahan iklim yang sedang dialami oleh seluruh dunia ketika ini," katanya.

Menurutnya, pelepasan gas rumah hijau di negara ini sekitar 70 peratus yang mempunyai sumber daripada bahan bakar fosil seperti arang batu serta gas asli.

Katanya, platform ini diharapkan dapat membantu untuk proses mitigasi perubahan iklim dengan memungkinkan peningkatan penggunaan tenaga suria memandangkan negara ini banyak terdedah dengan sumber berkenaan.

"Kita di negara ini kaya dengan sumber cahaya matahari dan boleh dikatakan kita hanya mempunyai dua musim saja iaitu musim panas dan tengkujuh serta pancaran matahari yang sampai di lokaliti negara ini adalah tinggi.

"Jadi, jika kita dapat memanfaatkan faedah ini, pastinya kita sekurang-kurangnya meminimumkan kesan perubahan iklim itu dalam jangka panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 7:00 AM