ACER Swift 3
ACER Swift 3
Husain Jahit


ACER Malaysia akan mendermakan sebahagian perolehan daripada setiap jualan produk terpilihnya di sepanjang kempen 'Acer Day' bermula hari ini hingga esok (3-4 Ogos) kepada badan bukan kerajaan World Vision sebagai usahanya membantu golongan yang memerlukan.

Kempen yang bertemakan 'Hidupkan Dunia Anda' itu menawarkan pelbagai produk terbarunya pada harga istimewa untuk menggalakkan rakyat negara ini melakukan yang terbaik dalam apa jua situasi.

Pengarah Perniagaan Konsumer, Produk dan Pemasaran Acer Malaysia, Johnson Seet berkata, selain inisiatif tanggungjawab korporat itu, kempen Acer Day itu turut menyediakan pelanggan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabaran video yang menawarkan hadiah hadiah bernilai lebih RM10,000.

"Ianya sebagai menghargai pelanggan yang meletakkan Acer Malaysia di kedudukan teratas bagi jenama jualan terbaik di Lazada dan Shopee di bawah kategori komputer dan laptop dan jualan pertengahan tahun 7.7 baru-baru ini," katanya.

Sehubungan itu juga, dengan falsafah menghubungkan manusia menerusi lagu seperti sebelumnya, tahun ini Acer menggabungkan penyanyi muda dari enam negara untuk menyanyikan lagu tema 'Live Your World'.

Penyanyi meningkat naik negara, Aina Abdul adalah seorang daripada mereka untuk bergabung dengan lima lagi artis masing-masing dari Indonesia, Filipina, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Antara produk baru yang diperkenalkan di dalam kempen ini ialah laptop dalam siri Swift yang nipis dan ringan termasuk Swift 3 yang datang dengan skrin lebih besar iaitu 16 inci. Manakala Swift 1 yang pertama kali diperkenalkan pada harga mampu milik kini dikuasai oleh pemproses Intel Pentium Silver N6000.

Acer Swift 3 dilengkapi dengan skrin FHD IPS 16 inci untuk menyediakan satu ruang kerja yang lebih besar, namun beratnya hanya bertambah 500 gram kepada 1.7kg berbanding model sebelumnya.

Ia mampu memberikan paparan menarik dengan gamut warna sRGB 100 peratus, sekali gus memberikan prestasi terbaik ketika mengendalikan berbilang perisian pada satu masa serta untuk hiburan keluarga apabila ia dikuasakan oleh cip pemproses Intel Core i5 atau i7-11370H Generasi ke-11 dengan storan SSD 512GB PCIe NVMe dan RAM sehingga 16GB.

Dijual pada harga masing RM3,699 dan RM4,599. Manakala Swift 1 yang diperkasa dengan RAM 4GB dan storan SSD 256GB dijual pada harga RM2,099.

Pada kempen Acer Day bersama Shopee Superbrand Day, setiap belian Acer Swift 3 akan didatangkan dengan set fon kepala Gateway Pro Wireless bernilai RM239 secara percuma, manakala belian Swift 1 akan diberi diskaun tunai bernilai RM100 dan percuma fon telinga Acer Trueharmony bernilai RM199.

ACER Aopen PV12
ACER Aopen PV12

Menarik dan terbaru diperkenalkan ialah AOpen PV12 iaitu projektor mudah alih bersaiz sebesar tapak tangan dan setebal 4 sm.

AOpen PV12 dikuasai oleh bateri yang boleh bertahan sehingga lima jam, sekali gus membolehkannya untuk dibawa ke mana saja dengan mudah termasuklah untuk beriadah di luar rumah.

Boleh dicas semula menggunakan bank tenaga, malah ia sendiri boleh bertindak sebagai bank tenaga untuk mengecas pelbagai peranti mudah alih lain ketika waktu kecemasan di luar rumah.

Walaupun kecil, projektor berharga RM1,099 ini dilengkapi lampu LED dengan tahap kecerahan 700 lumens dengan prestasi warna memberangsangkan menggunakan mentol tahan lasak yang memiliki daya tahan operasi sehingga 30,000 jam.

Di sepanjang tempoh kempen jualan Acer Day dan Shopee Superbrand Day, AOpen PV12 dijual pada harga berdiskaun RM909, sementara sebarang belian pada harga standard akan dihadiahkan dengan set fon kepala Gateway Pro Wireless berharga RM239.

Pelbagai produk lain turut ditawarkan pada harga istimewa beserta hadiah iringan dengan setiap pembelian. Antaranya termasuk monitor game Predator X34GS yang menyokong sistem penyambungan NVIDIA G-Sync dan monitor model XV252QF dengan kadar penyegaran semula 390Hz.

Dalam pada itu, Acer sudah menyediakan beberapa aktiviti dan persembahan hiburan yang akan disiarkan secara langsung pada jam 8 malam 7 Ogos ini menerusi saluran Facebook Acer Malaysia.

Sementara cabaran video 'LiveYourWorldWithAcer' dianjurkan bagi mengambil kesempatan ke atas kehidupan norma baru ketika ini yang mana ramai orang duduk di rumah dan mencuba pelbagai bidang baru sambil menunjukkan bakat terpendam masing-masing termasuk memasak, bercucuk tanam, menari, melukis, aktiviti DIY dan sebagainya.

Menerusi cabaran ini, Acer menawarkan hadiah bernilai RM10,000 kepada orang ramai yang menyertainya dengan hanya menghantar video berdurasi 30 saat mengenai aktiviti yang dilakukan secara kreatif bermula 7 Ogos hingga 30 September 2021.

Antara hadiah utama dan kedua menanti pemenang ialah sebuah laptop Aspire 5 dan Acer Swift 3 masing-masing berharga RM3,899 dan RM3,499.

Hadiah-hadiah lain ialah kredit Touch 'n Go bernilai RM200, tikar Yoga Acer Day dan kemeja-T Acer Day.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 2:58 PM