INDUSTRI sukan elektronik atau e-Sukan berkembang pesat sejak beberapa tahun ini dengan kemunculan pelbagai pertandingan peringkat dunia. - Foto Google
INDUSTRI sukan elektronik atau e-Sukan berkembang pesat sejak beberapa tahun ini dengan kemunculan pelbagai pertandingan peringkat dunia. - Foto Google
Muhammad Saufi Hassan


INDUSTRI sukan elektronik berkembang pesat sejak beberapa tahun lalu dengan menyaksikan banyak penganjuran pertandingan di semua peringkat.

Tidak cukup itu, ia juga antara sukan yang menawarkan pulangan hadiah lumayan, malah ramai penggiat sukan elektronik profesional sudah bergelar jutawan.

Mungkin secara asasnya, ia sukan baharu yang kurang membabitkan aktiviti fizikal sebaliknya lebih kepada fokus serta skil dalam permainan, tetapi segmen ini boleh diiktiraf sebagai cabang baharu dunia sukan.

Tidak ketinggalan peminat sukan elektronik di negara ini yang mula berkecimpung dalam industri berkenaan yang menawarkan pelbagai peluang serta ganjaran bagi pemain bertaraf profesional.

Begitu juga dengan pasukan baharu dikenali sebagai Shimada yang dianggotai enam anak muda yang bercita-cita mahu bergelar pasukan profesional kelak.

Biarpun ada dalam kalangan anggota pasukan yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) serta bekerjaya, ia tidak menghalang mengejar impian mereka.

Pasukan ini diketuai Wan Azri Naim, 26 dengan nama dalam permainan (IGN) 'Eiya' bersama-sama lima lagi rakan sepasukan iaitu Amin Syahir 'Nneul' Zulkifli, 20, Amir 'Akuma' Aqmar, 20, Wan Muhamad 'Animus' Rasydan, 20, Mohamad Yus 'Suiyu' Aieman, 20 dan Muhammad 'Yupi' Sufi, 26.

Amin Syahir berkata, pasukannya itu ditubuhkan November tahun lalu dan sudah memasuki beberapa pertandingan membabitkan judul permainan Valorant.

"Pasukan kami sememangnya sejak daripada awal penubuhan memberi fokus kepada judul permainan penembak pandang pertama (FPS) dan buat masa ini fokus banyak diberikan kepada permainan Valorant.

BIARPUN usia pasukan Shimada belum berusia setahun, namun sudah memasuki beberapa kejohanan pelbagai peringkat untuk menimbabpengalaman.
BIARPUN usia pasukan Shimada belum berusia setahun, namun sudah memasuki beberapa kejohanan pelbagai peringkat untuk menimbabpengalaman.

"Kebiasaannya kami akan berlatih setiap hujung minggu iaitu antara Jumaat hingga Ahad memandangkan ada dalam kalangan anggota pasukan yang masih menuntut dan ada juga yang sudah bekerjaya.

"Buat masa ini kami banyak memberi tumpuan atau memasuki pertandingan yang bersifat setempat atau penganjuran kecil dulu untuk menimba pengalaman serta mempelajari kemahiran dengan pasukan lain," katanya.

Menurutnya, pasukan Shimada menaruh impian untuk bergelar pasukan profesional kelak, namun ia satu perjalanan yang panjang.

Katanya, industri sukan elektronik pada hari ini berkembang dengan pesat dan menawarkan peluang yang cerah.

"Setiap peringkat pertandingan ada cabarannya tertentu, perasaan gementar itu tetap ada setiap kali pusingan biarpun pada waktu sekarang semua kejohanan diadakan menerusi maya.

"Usia pasukan kami tidak sampai setahun, masih diperingkat awal lagi mungkin untuk masa depan kami akan lihat beberapa judul permainan FPS yang lain cuma untuk masa ini lebih memberi penekanan kepada Valorant.

"Kami memberi fokus kepada judul permainan berkenaan kerana ia membabitkan konsep permainan 'taktikal' dan setiap watak atau 'hero' mempunyai kelebihan yang akan mengimbangi keseluruhan permainan berkenaan," katanya.

Katanya, mungkin pada masa depan pasukannya akan lebih banyak memasuki pertandingan di pelbagai peringkat untuk menimba pengalaman dan kemahiran dalam permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:00 AM