Muhammad Saufi Hassan

 

Kuala Lumpur: Jenama kelas permainan terkemuka, MSI menambah portfolio produk mereka dengan pengenalan kepada kerusi permainan daripada siri MAG CH130X.

  Kerusi 'gaming' berkenaan bukan saja sudah menjadi trend pengguna hari ini namun menjadi salah satu keperluan bagi individu yang menghabiskan lebih masa di depan komputer.

  Kerusi permainan ini juga mampu untuk mengelakkan tekanan di bahagian belakang badan terutamanya ketika duduk dalam tempoh yang lama di depan desktop sama ada untuk bermain permainan kegemaran atau melaksanakan tugasan rutin.

  Untuk itu, kerusi permainan MAG CH130X keluaran MSI mampu memenuhi setiap keinginan pengguna terutamanya sokongan bahagian belakang yang baik.

  Siri kerusi permainan MAG CH130X ini direka berasaskan kepada inspirasi kerusi perlumbaan yang mementingkan postur badan terutamanya sokongan tulang belakang.

  Kerusi itu juga dibina menerusi bahan berkualiti untuk menyokong berat pengguna serta penggunakan yang lasak.

  Rekaan di bahagian belakang adalah mengikut lengkungan tulang belakang untuk memastikan pengguna tidak menghadapi tekanan ketika duduk lama di depan komputer.

  Berdasarkan rekaan kerusi permainan MAG CH130X itu, MSI bijak menampilkan rekaan yang elegan dengan jahitan premium termasuk logo 'naga' yang menjadi maskot kepada MSI.

  Berat maksimum yang dicadangkan oleh MSI mampu menyokong sehingga 150 kilogram (kg) termasuk rekaan bahagian tempat duduk yang besar berkeluasan 52 sentimeter (cm).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 9:27 PM