MAG CoreLiquid K360 turut dilengkapi pam skrin LCD
MAG CoreLiquid K360 turut dilengkapi pam skrin LCD
Muhammad Saufi Hassan


SETIAP pengguna desktop kelas permainan atau prestasi pada hari ini mempunyai beberapa pilihan bagi sistem penyejukan cip pemproses mereka.

Antara pilihan yang ada adalah sistem penyejukan cecair rekaan sendiri atau 'liquid custom loop', sistem penyejukan cecair semua dalam satu (AIO) dan penyejukan konvensional menggunakan udara dan sinki haba.

Untuk pilihan berkenaan, 'liquid custom loop' memerlukan modal yang besar bagi pengguna dan kepakaran tertentu jika mahu menggunakan 'hard tubes' sekali gus meningkatkan ciri kosmetik desktop.

Namun, kaedah paling mudah, jimat kos dan penawaran prestasi yang baik, kebanyakan pengguna hari ini memilih 'AIO' sebagai pilihan dan terdapat pelbagai jenama berada di pasaran.

Bagaimanapun, tidak semua AIO berkenaan menawarkan prestasi yang sama memandangkan setiap sistem berkenaan menawarkan prestasi serta keupayaan yang berbeza.

Untuk itu, penulis ingin mencadangkan kepada AIO keluaran jenama kelas permainan terkemuka iaitu MSI menerusi sistem penyejuk mereka MAG CoreLiquid K360 yang turut dilengkapi dengan pam skrin LCD.

Untuk set desktop kelas 'full tower', penyejuk semua dalam satu (AIO) ini adalah antara yang terbaik selain dilengkapi dengan radiator 360mm bersama-sama tiga kipas penyejuk.

PENYEJUK MSI MAG CoreLiquid K360 dilengkapi dengan radiator 360mm.
PENYEJUK MSI MAG CoreLiquid K360 dilengkapi dengan radiator 360mm.

Sistem penyejuk ini menggunakan teknologi penyejukan kipas MSI TorX Fan 4.0 bersama-sama dengan pam penyejuk generasi ketujuh Asetek.

Ia juga dilengkapi dengan skrin LCD 2.4 inci pada permukaan pam penyejuk sekali gus menambahkan nilai kosmetik termasuk penyeragaman lampu ARGB.

Untuk penyejukan pemproses kapasiti penuh, MSI MAG CoreLiquid K360 ini mampu memberikan suku sekata sekitar 65 darjah celcius manakala untuk prestasi pegun pada 45 darjah celcius.

Bacaan itu adalah antara yang terbaik dan boleh diletakkan sebaris dengan penyejuk premium yang lain.

Teknologi kipas penyejuk yang diletakkan di bahagian pam itu juga bukan saja membantu menyejukkan pemproses sebaliknya memberi kesan langsung kepada pengudaraan untuk keseluruhan desktop.

Pengguna akan melihat penurunan suhu sekitar lima hingga 10 peratus tatkala kipas pam dihidupkan.

Skrin LCD pam itu juga boleh dijadikan penunjuk bacaan frekuensi, kadar suhu semasa dan kapasiti prestasi mengikut ketetapan pengguna.

SISTEM penyejuk AIO adalah pilihan kebanyakan pengguna hari ini kerana menjimatkan kos dan mudah dipasang.
SISTEM penyejuk AIO adalah pilihan kebanyakan pengguna hari ini kerana menjimatkan kos dan mudah dipasang.

Pengguna boleh memilih empat mod penyejukan iaitu seimbang, senyap, mod permainan, ubahsuai dan GI mod yang memberikan setiap satunya kelainan kelajuan kipas serta prestasi penyejukan.

Soket sokongan bagi AIO ini menyokong Intel LGA 1150 hingga LGA 2066 manakala untuk AMD adalah AM4 sehingga kepada sTRX4.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:20 AM