NVIDIA
NVIDIA
Muhammad Saufi Hassan


PENGELUAR cip pemproses grafik terkemuka, Nvidia GeForce dikatakan sedang giat membangunkan siri kad grafik mereka yang baharu dengan kod nama 'Lovelace'.

Siri kad grafik berkenaan bakal menggantikan Nvidia GeForce RTX 3000 dan berkemungkinan menggunakan variasi nombor kod RTX 4000.

Berdasarkan garis masa, pelancaran atau pengenalan kad grafik baharu berkenaan akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

Walaupun siri kad grafik RTX 3000 masih sukar didapati sehingga hari ini berikutan kekangan pembekalan komponen serta kenaikan mata wang kripto, Nvidia masih komited untuk melancarkan siri baharu berkenaan.

Sehingga kini, tidak banyak maklumat berhubung siri kad grafik RTX 4000 berkenaan namun apa yang pasti, syarikat berkenaan akan memberi fokus pembangunan kepada kemajuan teknologi 'Ampere', 'Ray Tracing' dan 'Deep Learning Super Sampling (DLSS)'.

Paling menarik adalah siri kad grafik baharu itu akan dibangunkan menerusi rekaan 5nm termasuk keupayaan pemproses serta kapasiti video memori yang dijangka lebih besar.

Usaha Nvidia berkenaan untuk meneruskan pembangunan bagi kad grafik mereka juga bertujuan untuk memastikan syarikat itu kekal peneraju pembuatan cip pemproses grafik biarpun diekori rapat oleh AMD menerusi siri kad grafik RX mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 4:24 PM